SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengakui pernah terfikir untuk menyertai Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
"Saya tak akan jawab sama ada saya nak sertai atau tidak di sini (dalam program Keluar Sekejap).
"Tapi Khairy (Jamaluddin) tanya adakah saya (pernah) fikir... (ya) saya fikir (untuk sertai Muda)," katanya menerusi Program Keluar Sekejap keloaan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, disiarkan pada Jumaat.
Sebelum itu, kedua-dua mereka membincangkan mengenai masa depan Muda, termasuk Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini disifatkan sedang menempuh fasa mencabar dalam kerjaya politiknya.
Muda yang kini mendukung kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dilihat tersisih daripada sebarang perbincangan dalam Kerajaan Perpaduan selain menjadi mangsa serangan penyokong PH sendiri.
Khairy berkata, dalam situasi sekarang, sudah sampai masa Syed Saddiq memikirkan masa depan politiknya.
"Dia dalam keadaan sangat susah sekarang ini kerana permohonan Muda untuk menjadi komponen pada PH tidak dilayan. Saya tak nampak 'market' dia kat mana sekarang.
"Sebab Muda ni ada imej parti muda, automatik tak dapat sokongan sangat daripada golongan dewasa. Saya rasa Syed Saddiq kena fikir tentang masa depannya," katanya.