BANK Rakyat kembali menawarkan Pembiayaan Peribadi-i Diva serta akaun Pelaburan-i Rizq Plus sebagai tanda penghargaan di samping memberikan nilai tambah baharu kepada 812,757 anggotanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif berkenaan bagi memastikan anggota Bank Rakyat dapat menikmati pelbagai manfaat.
Menurutnya, antaranya menerusi penyediaan kemudahan produk dan perkhidmatan dibangunkan khusus untuk anggota, selain daripada manfaat pembayaran dividen serta kadar keuntungan lebih rendah dan banyak lagi.
"Saya percaya keprihatinan Bank Rakyat amat selari dengan nilai Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Malaysia secara menyeluruh.
"Ini sekali gus menunjukkan komitmen dan ihsan Bank Rakyat dalam memastikan kebajikan dan kemakmuran ekonomi anggotanya terus dipelihara," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2023 yang menghimpunkan 902 perwakilan individu dan koperasi di Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy Kandasami dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata, pelancaran inisiatif terbaharu itu merupakan langkah proaktif bank dalam menawarkan perkhidmatan kewangan komprehensif bagi menghargai kesetiaan dan keyakinan anggota terhadap Bank Rakyat.
"Besarlah harapan agar anggota memberi sokongan dengan melanggan kesemua produk ditawarkan bagi membolehkan kita mencatatkan keuntungan lebih memberangsangkan pada tahun ini," katanya.
Pembiayaan Peribadi-i Diva menawarkan kadar keuntungan tetap serendah 2.99 peratus dengan jumlah maksimum pembiayaan sehingga RM400,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
Ujarnya, tawaran berkenaan juga membolehkan anggota untuk menikmati ansuran bulanan lebih rendah yang mana dividen tahunan dijadikan sebagai ansuran pembiayaan.
"Pembiayaan ini dapat membantu anggota mengurangkan beban aliran tunai mereka dan mampu membuat simpanan serta mempunyai lebihan tunai untuk tujuan pelaburan dan sebagainya," tambah Mohd Irwan.
Menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus pula, Bank Rakyat menawarkan cabutan khas berjumlah RM69,000 untuk dimenangi 69 pemenang sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69 pada tahun ini.
Kempen tersebut berlangsung bermula pada Sabtu iaitu 10 Jun sehingga 31 Disember 2023.
Selain berpeluang memenangi cabutan hadiah kempen untuk anggota, anggota turut berpeluang menyertai cabutan akaun Pelaburan-i Rizq Plus bersama-sama pelanggan lain dilaksanakan setiap bulan dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta dan cabutan istimewa hadiah setengah tahun berjumlah RM100,000.