KOTA BHARU - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta sebulan bagi meneruskan pemberian subsidi ke atas ayam dan telur bermula 1 Julai depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu mengambil kira bebanan rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan.
"Kami tidak keberatan untuk menyambung terus pemberian subsidi itu demi memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur pada harga yang dikawal kerajaan.
Sebelum itu beliau merasmikan Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.
Hadir sama ialah, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Menurut beliau, tindakan itu sekali gus menafikan desas-desus mengatakan kerajaan mahu hentikan pemberian subsidi.
Ujarnya, kebiasaan bajet tahun lepas setiap kementerian akan berakhir pada 30 Jun ini.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Julai depan.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai 2023.
"Keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ini diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani," menurut kenyataan tersebut.