POKOK SENA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan bahawa siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu sejarah pemilikan Pulau Pinang yang dikatakan milik Kedah adalah berunsur politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan terbabit tidak ada kena mengena dengan dendam politik dan sebagainya.
Beliau berkata, tindakan berkenaan dilaksanakan berdasarkan prinsip profesional maka biar polis melakukan siasatan.
"Apabila suatu kenyataan yang dianggap sebagai boleh menimbulkan keresahan dibiarkan tanpa tindakan. Kerajaan dilihat tidak ada gigi, tidak berani ambil tindakan sedangkan rakyat resah.
"Isu yang sudah selesai pun korek balik. Apabila polis bertindak, ada menuduh ambil tindakan disebabkan politik," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas lawatan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke tapak projek Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat sebarang andaian sebaliknya menunggu sehingga proses siasatan selesai sehingga peringkat seterusnya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, beliau mendapati ada pihak telah membuat dakwaan tertentu sedangkan proses siasatan terhadap Menteri Besar Kedah itu masih berjalan.
"Satu kenyataan yang akan mengundang satu kesan. Jadi apa yang berlaku pada Menteri Besar adalah satu kertas siasatan telah dibuat.
"Sehubungan itu, biar polis bertindak secara profesional. Tidak perlu gaduh gundah gulana tentang benda itu. Bagi kerjasama," katanya.
Jelas beliau, polis akan menyerahkan perkara ini kepada peguam negara selepas siasatan terhadap isu terbabit selesai.
"Jikalau peguam negara kata ya (hasil siasatan) itu dianggap mencukupi barulah proses pendakwaan dilaksanakan. Jikalau tidak cukup, peguam negara akan hantar balik kepada polis.
"Jadi, beri peluang pihak polis buat kerja dulu.Tidak perlu komen ini dendam politik memandangkan tidak timbul perkara itu," katanya.
Menurut beliau lagi, polis memulakan siasatan itu disebabkan kenyataan Muhammad Sanusi sendiri berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah termasuklah dakwaan menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda.
Saifuddin berkata, bagaimanapun Muhammad Sanusi dilihat menafikan mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menyokong dakwaannya Pulau Pinang milik Kedah.
"Berpegang pada satu kenyataan sahajalah. Ada kata atau tidak. Kemudian biar polis siasat. Tidak kira apa pun (siasatan) akta yang berkaitan, saya percaya sahabat saya kenal lama dan berjuang sama-sama dulu, dia mampu untuk bagi kerjasama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Isu Pulau Pinang milik Kedah undang kontroversi
Pulau Pinang milik Kedah: 'Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan'
Dakwa Pulau Pinang milik Kedah, polis panggil Sanusi hari ini
'Kedah mahu nilai semula pajakan, bukan tuntut Pulau Pinang'