POKOK SENA - Kerajaan akan meneliti laporan sulit Pasukan Petugas Khas mengenai kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, supaya langkah bersesuaian dapat dilakukan berhubung pendedahan laporan itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismali berkata, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat 'lebih atas' lagi dengan melihat kembali langkah yang boleh kerajaan laksanakan dalam proses mendedahkan laporan itu.
"Amri hilang lama dah (dilaporkan pada 2016) bukan semasa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (jadi Perdana Menteri), tetapi keputusan mahkamah supaya laporan siasatan itu didedah berlaku semasa Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, masa Kerajaan Perpaduan.
"Jadi apabila (pihak) Peguam Negara mengemukakan rayuan, mahkamah kemudian memutuskan penangguhan, saya sudah tentu akan meneliti perkara ini," katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baharu bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan Jabi di sini pada Sabtu.
Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah mengulas laporan sebuah portal berita hari ini mengenai kenyataan aktivis yang mempersoalkan mengenai kehilangan Amri.
Dalam permohonan itu, Norhayati menuntut antaranya satu pengisytiharan bahawa laporan yang disediakan pasukan petugas khas tidak termasuk dalam takrifan"rahsia rasmi” di bawah Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Bagaimanapun, pada 7 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung perintah mahkamah supaya mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri kepada Norhayati.
Menjelas lanjut, Saifuddin Nasution berkata jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau menolak sebarang dakwaan mengaitkan kerajaan pada masa ini 'sensitif' ataupun 'degil' untuk tidak mendedahkan laporan sulit berhubung kehilangan Amri itu.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution menafikan siasatan polis ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubungan kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang ialah milik Kedah kerana dendam politik.
Sebaliknya beliau berkata siasatan ke atas Muhammad Sanusi dibuat berikutan kenyataannya yang dianggap menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan menegaskan bahawa polis bertindak secara profesional dalam perkara itu. - Bernama