SHAH ALAM - Ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low mengulangi kenyataan bahawa pemulangan set barang kemas ibunya, Evelyn Goh bukan tindakan pengakuan bersalah.
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sebelum ini berkata, barangan kemas itu dipercayai diperoleh dengan menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diseleweng.
Jurucakap Jho Low melalui peguamnya berkata, ahli perniagaan itu juga mahu isu tuntutan barangan kemas berkenaan diselesaikan segera.
"DOJ juga mengakui pemindahan (pemulangan barangan kemas) itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengakuan salah atau liabiliti pada pihak penjaga atau mana-mana pihak lain.
"Kami mengharapkan penyelesaian yang berterusan berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, DOJ memeterai perjanjian dengan penjaga barangan kemas terbabit supaya ia dipulangkan ke AS.
Barangan kemas itu terdiri daripada anting-anting dan cincin berlian.
Berdasarkan laporan terkini media, Jho Low dipercayai tinggal di China dan baru-baru ini dikatakan melakukan perjalanan ke Hainan, Hong Kong dan Beijing.