KULAI - Ibu kepada Chong Sum Yee, 22, atau dikenali sebagai Angie yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini buntu memikirkan keselamatan anak gadisnya itu.
Chee Choy Won, 50, berkata, meskipun nalurinya kuat menyatakan anak itu selamat, namun tetap bimbang Angie menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di Myanmar.
Dia percaya perkara berkemungkinan berlaku setelah pertemuan diadakan dengan pihak polis di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai, Bangkok pada Rabu lalu.
"Angie ada hubungi saya menerusi aplikasi WhatsApp semalam, beritahu dia ada di Thailand tanpa butiran lanjut. Saya cuba menghubunginya malam tadi namun tidak berjawab.
"Tidak lama kemudian, dia menghubungi saya semula dan mengatakan dia dalam keadaan sihat dan sangat bahagia di sana, namun suaranya kedengaran agak tertekan.
"Malah, dia turut meminta saya untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat sebelum memutuskan panggilan. Selepas itu, dia tidak dapat dihubungi lagi, mesej yang dihantar melalui WhatsApp tidak dibaca," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar dikendalikan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Alan Tee Boon Tsong di Ibu Pejabat DAP Johor di Jalan Tropika 1, Taman Tropika di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Boon Tsong berkata, pada 4 Jun lalu dia bersama Choy Won telah ke Chiang Mai, Thailand selepas mendapat panggilan polis negara itu berhubung kehilangan Angie.
"Sebaik kami tiba di lapangan terbang di sana, polis Thailand telah membentangkan siasatan mereka.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada polis Thailand yang mana mereka telah maklum bahawa, Angie ada datang ke Thailand dan mengambil kereta untuk pergi ke mana dan jumpa dengan siapa, serta tinggal di hotel.
"Namun, akhirnya di Chiang Rai, pihak Polis Thailand memaklumkan kemungkinan besar mangsa telah pergi ke negara Myanmar," katanya.
Pada 7 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan seorang gadis Malaysia di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa pada 2 Jun lalu yang menyatakan Chong Sum Yee atau dikenali Angie Chona Sum hilang di negara jiran tersebut.
Jelasnya, usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh pihak polis Thailand melalui bantuan Polis Antarabangsa (Interpol), PDRM pihak berkuasa Myanmar dan lain-lain
ARTIKEL BERKAITAN:
Kedutaan, polis Thailand bekerjasama kesan rakyat Malaysia hilang
Gadis warga Malaysia dilapor hilang di Thailand
Video wanita Malaysia hilang di Thailand dakwa dia sihat, selamat