Lori lebih muatan ibarat bom jangka - Penduduk

Iklan
Muka depan akhbar Sinar Harian pada Sabtu.

KUANTAN - Kehadiran kenderaan berat terutama lori yang membawa lebih muatan di sekitar Balok di sini ibarat bom jangka kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sikap segelintir pemandu lori yang tidak mengendahkan undang-undang dan peraturan ditetapkan menimbulkan kebimbangan dan keresahan pengguna untuk berkongsi jalan.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Balok di sini pada Sabtu mendapati rata-rata penduduk berkongsi keresahan sama berkaitan isu itu.

Bagi mereka terutama pengguna motosikal cuba mengelak menggunakan jalan-jalan yang menjadi laluan utama lori seperti Jalan Pintasan Kuantan.

Iklan

Mereka bagaimanapun tiada pilihan kerana kawasan itu berhampiran dengan kawasan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan yang menjadi tumpuan pengusaha pengangkutan.

Bagi Siti Hajariah Mamat, 42, dari Perumahan Balok Pine di sini, walaupun kehadiran lori lebih muatan terkawal, dia tetap bimbang untuk berkongsi jalan dengan kenderaan berat.

Iklan

Menurutnya, kebimbangan itu berdasarkan pengalaman berdepan segelintir pemandu yang memandu laju dan membiarkan muatan tidak bertutup kemas hingga merisikokan pengguna jalan yang lain.

"Bila dengar berita kes kemalangan melibatkan kenderaan berat ini, lagi risau tapi saya tiada pilihan kerana jalan itu hak bersama," katanya.

Siti Hajariah berkata, langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang melanggar peraturan amat dialu-alukan.

"Sekurang-kurangnya tindakan itu dapat menyedarkan segelintir pemandu lori untuk mematuhi peraturan ditetapkan dan turut memikirkan keselamatan pengguna kenderaan kecil," katanya.

Seorang peniaga kedai runcit di Pasar Balok, Azrai Nordin, 60-an, pula berkata, kerajaan melalui agensi seperti JPJ khususnya perlu meningkatkan operasi bagi membendung kehadiran lori membawa lebih muatan.

Menurutnya, selain boleh mendatangkan ancaman kepada pengguna jalan raya yang lain, kehadiran lori lebih muatan menjadi antara faktor berlaku kerosakan jalan.

"Seperti yang kita tahu, isu jalan rosak sering kali menimbulkan rungutan penduduk di kawasan ini dan ia terus berlanjutan walaupun beberapa kali dibaiki.

"Jika kehadiran lori dengan muatan berlebihan itu tidak dibanteras, masalah itu akan berulang dan akan menyusahkan penduduk," katanya yang tinggal di Kampung Chenggal Lempong di sini.

Azrai berkata, pihak berwajib juga diminta memantau lori yang menggunakan jalan kampung sebagai laluan alternatif.

"Bila ada lori masuk, jalan akan rosak. Bila dah rosak baikinya lambat menyebabkan penduduk menjadi mangsa," katanya.

Pandangan sama dikongsi Fatimah Zainon, 52, dari Balok Baru di sini.

Menurutnya, dia kesal dan marah dengan sikap segelintir pemandu lori yang mementingkan diri sendiri demi keuntungan semata-mata.

"Walaupun belum pernah berdepan situasi mencemaskan membabitkan lori, namun sudah banyak kemalangan berlaku dan ada nyawa terkorban.

"Macam tidak adil, pengusaha dan pemandu lori kaut keuntungan sedangkan kami penduduk yang menjadi mangsa," katanya.

Justeru dia meminta agensi terlibat sentiasa meneruskan operasi agar kesalahan melibatkan kenderaan berat dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Khamis lalu, JPJ melancarkan operasi khas, Op Mammoth terhadap lori membawa muatan berlebihan di sekitar daerah ini.

Dalam operasi selama 10 jam itu, 14 lori telah ditahan dan 64 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan utama dikesan ialah membawa muatan melebihi had berat dibenarkan di bawah Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018 iaitu lebihan berat antara 60 hingga 130 peratus.