MELAKA - Pasangan suami isteri merayu kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) agar mempercepatkan kelulusan permohonan kerusi roda khas untuk anaknya yang menghidap penyakit Neonatal encephalopathy with infantile spasm and Global Development Delay (GDD).
Amyliah Farahimah Afian, 28, dan suaminya Mohd Khairul Hakimi Mohd Sabri, 28, memberitahu, anaknya Naysa, dua tahun 11 bulan yang menghidap GDD sejak lahir.
Amyliah berkata, selepas melahirkan Naysa dia terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada anaknya itu.
Menurutnya, sejak itu segala perbelanjaan rumah dipikul suaminya yang bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan tetap sebanyak RM1,600 sebulan bagi meneruskan kelangsungan hidup termasuk keperluan Naysa berjumlah RM800 sebulan.
Katanya, mereka bernasib baik kerana anaknya itu mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500, namun disebabkan kurang berkemampuan dia membuat permohonan kerusi roda khas kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada Januari lalu.
"Sebelum ini kami menggunakan kereta sorong (stroller) untuk memudahkan membawa Naysa terutama ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Jelas Amyliah dalam tempoh selepas permohonan itu, terdapat wakil pihak berkenaan datang ke rumah untuk membuat bancian dan mengambil gambar rumah, sebelum dia menghubungi pihak MAIM pada awal bulan ini untuk bertanyakan status permohonan tersebut.
Menurutnya, dimaklumkan alat bantuan itu telah siap, bagaimanapun ketika mengambilnya, dia dan suami kecewa kerana mendapati kerusi roda terbabit tidak sesuai dengan saiz Naysa hinggakan kakinya tergantung.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya mengambil ukuran terlebih dahulu sebelum membuat penyerahan kerusi roda bagi kegunaan Naysa.
"Disebabkan tak sesuai, saya pulangkan semula kepada mereka kerana Naysa memerlukan kerusi roda boleh laras bagi menyokong tulang belakangnya, selain menampung pinggul kiri yang terkeluar.
"Saya memerlukan kerusi roda ini untuk Naysa senang bergerak termasuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya lagi.
Tambah ibu dua anak itu, setiap tiga bulan sekali anaknya perlu dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan pakar dan segalanya memerlukan wang termasuk kos pengangkutan dan penginapan selama berada di ibu kota.
"Hanya suami seorang yang bekerja, dan kami tak berkemampuan untuk membeli sendiri kerusi roda khas yang dianggarkan berharga lebih RM3,000 kerana itu kami memohon kepada MAIM.
"Kami harap kesilapan dan kesulitan seperti ini tak berulang lagi, dan dipercepatkan untuk Naysa," katanya.
Baru-baru ini tular kisah Naysa yang didakwa mendapat kerusi roda tidak mengikut spesifik saiz bersesuaian hingga terpaksa dipulangkan semula tanpa permohonan maaf daripada pihak berkenaan.