SEINGAT penulis, pengalaman pertama berpuasa ketika penulis berumur tujuh tahun.
Walaupun, pada masa itu, penulis memang tidak tahu pengertian puasa dalam erti kata sebenar, penulis tetap berusaha untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga. Alhamdulillah, dapat juga berpuasa penuh selama 17 hari. Satu kejayaan besar bagi seorang kanak-kanak.Biasalah budak kecil yang sering mendengar cerita daripada kawan-kawan kononnya mereka berpuasa semata-mata mahu mendapatkan habuan duit raya.
Pada penulis, cara itu tidak salah kerana ia merupakan satu semangat dan pemangkin untuk ibu bapa mengajar anak mereka menunaikan kewajipan wajib sebagai umat Islam.
Bagaimanapun, setiap ahli keluarga harus mengingatkan kepada mereka yang masih kecil bahawa berpuasa adalah kerana ALLAH SWT. Ya, masa berlalu dengan sangat pantas.
Pada Isnin ini, bulan yang mulia dan penuh keberkatan, Ramadan akan muncul, insya-ALLAH pada hari Isnin depan.
Dalam tempoh sebulan, masing-masing barangkali sudah beriltizam mahu berpuasa penuh, tidak kurang juga yang berhasrat untuk tinggalkan solat tarawih dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Ramadan disebut sebagai bulan yang lebih baik daripada bulan-bulan Islam yang lainnya. Apakah kelebihan-kelebihannya?
Malam Lailatul Qadar
Menjawab pertanyaan itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid merungkai pelbagai keistimewaan bulan Ramadan yang hanya datang setahun sekali sahaja.
Menurut ilmuan agama itu, beliau mengajak seluruh umat Islam mempelbanyakkan ibadah sunat kerana ganjaran pahalanya sama dengan ibadah fardu.
"Bagi ibadah yang wajib pula, pahalanya digandakan sehingga 70 kali ganda," jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Kepada Sinar Islam, Mohd Tamyes berkata, daripada banyak malam, ada sesuatu yang paling istimewa iaitu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadar.
"Ia hanya berlaku setahun sekali iaitu pada 10 hari terakhir Ramadan, bermula 21 Ramadan hingga akhir bulan Ramadan. Ia menjadi idaman oleh setiap umat Islam untuk beribadah (sepanjang malam berkenaan)," katanya.
Kenapa malam Lailatul Qadar begitu ulung? Jawab beliau:"Apabila seseorang itu dapat beribadah pada malam itu, maknanya, samalah mereka beribadah sepanjang 83 tahun 4 bulan ataupun 1,000 bulan!."
Agamawan itu berkongsi sebuah kisah di sebalik malam Lailatul Qadar ini.
Katanya, ia mempunyai kaitan dengan usia umat Nabi Muhammad SAW yang tidak panjang seperti umat-umat terdahulu. Rasulullah SAW bersabda:"Umur umat-umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.” (Riwayat al-Tirmizi)
Ujar beliau, hadis tersebut menunjukkan usia umat Nabi Muhammad SAW tidak begitu panjang. Ia tidak seperti umat-umat terdahulu iaitu umat-umat Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim AS yang mencecah usia ratusan tahun lamanya.
Lalu, Baginda merasakan, alangkah rugi kerana umatnya tidak dapat melakukan ibadah kepada ALLAH SWT dalam tempoh yang lebih lama. Bagaimanapun, kegusaran tersebut ALLAH SWT gantikan dengan suatu keistimewaan kepada umat Nabi Muhammad SAW iaitu dengan menurunkan malam Lailatul Qadar pada setiap tahun di dalam bulan Ramadan.
"Bayangkan kalau kita dapat beramal dalam tempoh 10 tahun dengan bertemu 10 kali Lailatul Qadar dalam bulan Ramadan, bayangkan, ganjaran yang diterima.
"Ia menyamai umur umat Nabi Nuh AS, malah, lebih baik kerana usia panjang dipenuhi dengan ibadah. Itulah istimewanya bulan Ramadan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Jadi, itu sebabnya kenapa orang mengejar untuk beramal dalam bulan Ramadan," jelasnya.
Apapun, beliau mengingatkan umat Islam agar jangan memilih malam-malam tertentu sahaja untuk melakukan ibadah. Sebaliknya, berterusanlah dalam beramal sepanjang Ramadan.
Mohon keampunan
Ketika Ramadan juga, telah diturunkan al-Quran iaitu pada malam Lailatul Qadar juga. Hal itu diterangkan dalam Surah al-Qadr.
"Ada riwayat mengatakan bila al-Quran diturunkan? Iaitu daripada 'Luh Mahfuz' (di tempat yang tertinggi dan terjaga daripada sebarang penambahan, pengurangan, penyelewengan dan penggantian) ke Baitul Izzah (rumah di langit dunia).
"Kemudian, daripada Baitul Izzah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW sedikit demi sedikit selama 13 tahun mengikut wahyu yang diturunkan melalui Malaikat Jibril AS."
Kepada satu soalan, Mohd Tamyes berkata:"Kalau kita melakukan dosa, mohonlah keampunan ALLAH. ALLAH akan ampunkan dosa kita selama mana dosa itu bukan dosa syirik. Namun, kalau dosa syirik, ALLAH sudah jelaskan, ia tidak akan diampunkan. Dosa syirik adalah dosa menyekutukan ALLAH dengan sesuatu makhluk yang lain."
Kalau dosa yang lain walau sebesar mana seperti seluas angkasa pun, ALLAH akan ampunkan sekiranya seseorang hamba itu benar-benar mohon keampunan daripada-Nya dan tidak mengulangi balik kesalahan yang sama, kata Mohd Tamyes lagi,
Takwa
Seorang lagi pendakwah yang juga seorang penulis, Ustaz Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi turut mengulas mengenai kehebatan Ramadan.
Jelas beliau, Ramadan sebenarnya adalah bulan menggapai takwa sebagaimana firman ALLAH SWT:"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Menurut beliau, Ramadan juga digelar sebagai bulan dakwah dan ibadah.
"Ramai orang berduyun-duyun ke masjid atau surau untuk mendirikan solat tarawih. Justeru, ahli jawatankuasa masjid atau surau patut gunakan peluang ini untuk meraikan tetamu ALLAH.
"Mereka boleh ambil kesempatan untuk terus berdakwah kepada para jemaah. Cakap dalam nada yang baik untuk mengajak masyarakat Islam untuk istiqamah tunaikan solat di masjid atau surau, bukan hanya ketika bulan Ramadan sahaja," katanya.
Kata Ustaz Hanafi, menyingkap semula sejarah silam, pada bulan Ramadan, berlaku pembukaan Kota Makkah seperti yang disebut di dalam Surah an-Nasr.
"Ketika peristiwa itu, berbondong-bondong manusia memeluk Islam. Jadi, banyakkan dakwah pada bulan Ramadan sebab orang-orang bukan Islam kagum dengan kehebatan orang Muslim yang boleh berpuasa satu hari.
"Dari sudut psikologi, gelombang frekuensi manusia dalam bulan Ramadan sangat rendah iaitu gelombang alfa yang penuh dengan ketenangan. Bila kita cakap elok-elok dan berlemah-lembut dengan orang bukan Islam, insya-ALLAH mereka akan memeluk Islam, dengan syarat, ALLAH memberi hidayah kepada mereka," katanya.
Jika ada sesetengah yang berpendapat tidak elok mengajak jiran bukan Islam berbuka sama, anda sebenarnya silap. Ustaz Hanafi menjelaskan:"Kita boleh memanggil mereka (bukan Islam) untuk iftar bersama kerana ia merupakan salah satu cara berdakwah. Kemudian, cari penceramah yang sesuai dan faham kaedah dakwah untuk memujuk mereka kepada agama Islam."
Sedekah
Dalam pada itu, Ustaz Hanafi turut mengingatkan agar umat Islam memberikan agar memberi 'duit raya' pada bulan Ramadan.
"Ramai orang bagi duit raya ketika hari raya. Kalau mereka hendak anggap sebagai sedekah, pahalanya kurang (pada hari raya) walaupun, tak salah dan tak berdosa.
"Namun, ketahuilah, pemberian 'duit raya' dalam bulan Ramadan, besar pahalanya. Kalau kita bersedekah pada bulan ini, ALLAH akan bagi ganjaran pahala berlipat kali ganda dan rezeki kita akan diperluaskan lagi," jelasnya yang turut menggalakkan umat Islam supaya bersedekah kepada fakir miskin dan para imam serta ustaz yang ikhlas untuk agamanya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Meskipun, syaitan diikat dalam bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang berbuat perkara maksiat?
"Tujuan berpuasa adalah menundukkan nafsu. Walaupun, pada bulan Ramadan, syaitan akan diikat dan dikurung tetapi, masih ada orang buat perkara maksiat kerana nafsu mereka.
"Memang syaitan menggoda kita untuk melakukan maksiat dan dosa tetapi nafsu yang ada dalam diri kita pun mendorong kita untuk melakukan dosa dan maksiat. Jadi, tujuan berpuasa adalah menundukkan nafsu iaitu untuk mengawal nafsu kita tunduk pada ALLAH dan pada Islam," jelas beliau.
Kepada satu soalan lain, Ustaz Hanafi menegaskan, tiada satu pun hadis yang menyebutkan tentang fadilat solat tarawih seperti mana yang kerap dikongsi segelintir masyarakat.
"Itu bukan hadis, mungkin hanya ungkapan para ulama. Wallahua'lam. Fadilat ini kita tak boleh sebut sembarangan sebab ia bukan daripada hadis sahih dan bukan daripada Nabi Muhammad SAW.
"Ia mungkin digalakkan para ulama, wallahua'lam. Tetapi pendapat yang masyhur mengatakan, (ganjaran solat tarawih yang disebutkan pada setiap malam) memang bukan daripada Nabi Muhammad SAW. Jika ada yang kata ia datang daripada Rasulullah SAW, ia adalah hadis yang palsu dan berdosa kalau kita sebarkan fadilat-fadilat tentang solat tarawih berkenaan," ujarnya.