BACHOK - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membantu pelajar terbaik Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, Muhammad Shahril Saidi, 18, yang memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Anak bongsu daripada enam beradik itu tular apabila memperoleh keputusan cemerlang walaupun terpaksa mengurus dan menjaga ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang terlantar akibat penyakit saraf sejak empat tahun lalu.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman sosial Facebook miliknya pada Sabtu.
"Insya-ALLAH, saya sudah minta Mara bantu adik Shahril ini bagi membolehkan dia dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.
"Dalam lawatan tadi saya dimaklumkan Mara Kelantan turut berkongsi sedikit sebanyak informasi berkenaan peluang pendidikan tinggi selepas SPM di Institusi Pendidikan Mara (IPMA), kemudahan penganjuran pelajaran serta ekosistem lengkap sektor pendidikan dan keusahawanan Mara dalam melahirkan Modal Insan Global dan Berintegriti," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Muhammad Shahril menganggap keputusan itu mungkin rezekinya yang akan mengutamakan ibunya dalam rutin harian.
Dia membantu abang dan kakaknya menjaga ibu mereka yang terlantar sakit itu.
Ujarnya, rutin pagi ialah memandikan ibu sebelum pergi ke sekolah dan melakukan tugas sama apabila pulang dari sekolah.
"Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya.
"Selain itu, seorang kakak saya, Noor Syahida, 25, yang sentiasa menjaga ibu di rumah,” katanya.
Muhamad Shahril menjadikan Uwais Al-Qarni sebagai contoh turut berkongsi tip perkara paling utama untuk berjaya ialah memuliakan ibu bapa selain sentiasa berusaha menjadi individu terbaik.