SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil membidas dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa nasib parti tersebut tidak seteruk sekarang jika Putrajaya pada ketika itu membubarkan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, hakikat sebenar pandangan simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas Setiausaha Agung UMNO itu menjadi punca Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, unjuran parti berkenaan pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan membentuk kerajaan secara solo.
"Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.
"Sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, saya mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad menerusi ciapan di Twitter miliknya memberikan respons terhadap dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa beliau punca kepada kegagalan UMNO.
Jelasnya, Presiden UMNO mempunyai lima penasihat tertinggi, 21 Ahli Biro Politik dan 56 Ahli MKT serta selaku Setiausaha Agung, tugasnya adalah melaksanakan keputusan mesyuarat.
Tambahnya, terdapat keputusan penting tidak dapat dilaksanakan sebagai contoh PRU15 perlu diadakan seawal mungkin sebaik selesai PRN Melaka dan Johor.
Dakwa beliau, sekiranya Putrajaya mengikut keputusan bersama ketika gelombang kemenangan Melaka dan Johor, nasib parti berkenaan tidak seteruk sekarang.
Ujar Ismail Sabri, pada ketika itu ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas negara terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19.
"Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen. Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil.
"Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” kata beliau.
Katanya lagi, disebabkan keyakinan menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15.
"PRN dan PRU adalah dua perkara amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi Kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu.
"PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.
"Inilah punca sebenar kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN,” jelasnya.