USAHAWAN dan pakar pelaburan, Norizam Tukiman mengesahkan Persatuan Sepakbola Pekanbaru dan Sekitarnya (PSPS) Riau FC kini dimiliki pemilik baharu.
"Saya Norizam Tukiman, dengan ini menyatakan bahawa PSPS Riau FC sudah berpindah tangan.
"Dan orang yang akan menangani kelab tersebut adalah orang yang tepat untuk meneruskan mimpi saya supaya PSPS Riau FC kembali ke masa kejayaannya.
"Semua bayaran kerosakan kerusi stadium dan bayaran lain semua dijelaskan melalui lawyer yang dilantik iaitu Pak Effendy Shah Putra,” katanya yang juga pemilik Kelantan FC di Facebooknya pada Sabtu.
Norizam sebelum ini melebarkan sayap dalam industri bola sepak apabila mengambil alih PSPS Riau pada Mei 2021.
Dalam masa sama, Norizam yang lebih dikenali Zamsaham juga meminta maaf kepada warga Pekanbaharu terutama para penyokong Lucky Warriors yang beraksi di Liga 2 Indonesia tersebut.
"Dalam kesempatan ini, saya juga ingin meminta maaf kepada seluruh warga kota Pekanbaru, khususnya kepada supporter jika ada salah kata dan sikap selama saya menjadi pemilik PSPS Riau FC.
"Semoga kelab yang saya cintai ini menjadi lebih baik untuk ke depannya. Terima kasih juga untuk seluruh bentuk dukungan yang sudah diberikan kepada saya selama ini,” katanya.