KEJAYAAN Sri Pahang bangkit ketinggalan 1-3 ketika menjinakkan Negeri Sembilan FC 4-3 dalam aksi Liga Super disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menyifatkan skuad Tok Gajah memperagakan kebangkitan luar biasa dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan tersebut.
"Alhamdulillah, luar biasa apabila para pemain Pahang memberikan aksi 200 peratus dalam separuh masa kedua.
"Sebenarnya, kita agak kecewa pada separuh masa pertama apabila disiplin pasukan kurang, namun separuh masa kedua kita kembali rancak dalam menyerang.
"Paling penting, kita kembali mengutip tiga mata selepas dua kekalahan sebelum ini,” katanya yang mengakui ketiadaan Herold Goulon separuh masa kedua mengaktifkan jentera pasukan.
Dalam perlawanan itu, gol Sri Pahang dijaringkan Stefano Brundo menerusi sepakan penalti minit ke-24 dan minit ke-90, David Rowley (m-80) dan Kpah Sherman (m-94).
Sementara itu, gol skuad Rusa kendalian K Devan pula dijaringkan Goulon (m-7), Shahrel Fikri (m-14) dan Casagrande (m-25).
Jelas Fandi lagi, dia gembira apabila perlawanan ke-14 itu mengakhiri dua kekalahan berturut-turut pasukan tersebut sebelum ini.
"Sebelum perlawanan bermula, saya cakap mudah-mudahan tidak ada kekalahan hatrik pada malam ini.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pemain yang memberikan persembahan luar biasa untuk tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.