SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku pelaksana Program empowerNCER Akademik 2022 telah meraikan kejayaan pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
NCIA dalam satu kenyataan berkata, pelajar-pelajar cemerlang tersebut di bawah Program empowerNCER Akademik 2022 dan ibu bapa mereka diraikan dalam Program Ramah Mesra bersama Pelajar Cemerlang SPM di bawah Program empowerNCER Akademik 2022 yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Fazudli Saad, Pengarah Jabatan Projek Khas dan Pembangunan Perniagaan, iCEPS UiTM,Shira Haniza Yaakop, Pengurus Pejabat Negeri Kedah, NCIA, Zariemy Mohd Yunus dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan, NCIA, Zaila Yahya.
Menurut kenyataan itu, pelajar-pelajar cemerlang tersebut yang mengikuti Program empowerNCER Akademik 2022 merupakan pelajar dari beberapa sekolah melibatkan daerah di negeri Kedah seperti Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kulim, dan Bandar Baharu.
"Mereka juga dijemput untuk berkongsi cerita serta rahsia kejayaan sepanjang mengharungi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dalam program berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Program empowerNCER Akademik 2022 telah berjaya memberi peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar untuk mencapai keputusan peperiksaan SPM yang baik setanding rakan-rakan mereka dari sekolah-sekolah bandar.
Sementara itu, Fazudli berkata, keberkesanan Program empowerNCER Akademik terbukti apabila pelajar yang mengikuti program tersebut mampu melakar kejayaan yang membanggakan dalam peperiksaan, sekali gus langkah awal dalam usaha mengubah taraf hidup ke satu tahap yang lebih baik.
Debaran menanti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2022 bukan sahaja dirasai oleh pelajar malah golongan ibu bapa.
Bagi Noraziah Manaf, 51, berkata, kejayaan anaknya, Najihatul Ulya Mad Rusli dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap mencatatkan keputusan SPM yang cemerang merupakan diluar jangkaan mereka sekeluarga.
"Saya sangat terkejut dan tidak menyangka anak saya memperoleh keputusan 8A. Saya berharap Najihatul terus cemerlang dalam mengejar cita-citanya sebagai akauntan suatu hari nanti,” katanya dalam nada syukur semasa sesi Ramah Mesra Pelajar Cemerlang SPM 2022.
Perasaan gembira turut dikongsi oleh seorang lagi pelajar cemerlang iaitu Pahrkaavvi Santhiasegaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas.
Beliau bersyukur apabila niat untuk menghadiahkan keputusan cemerlang 9A kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha sepanjang menghadapi peperiksaan dapat direalisasikan.
Menurut seorang lagi pelajar cemerlang iaitu Hakimi Hamid dari SMK Kuala Nerang, tips dan strategi menjawab yang dikongsi oleh para penceramah jemputan melalui bengkel-bengkel menjawab peperiksaan telah membantu beliau menjawab soalan dengan baik.
Beliau yang memperoleh keputusan 8A bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan menyasarkan untuk mencatatkan pelbagai kejayaan serta berbakti semula kepada ibu bapa dan masyarakat.