AMPANG - Kenangan bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang selama 22 tahun sejak ancaman komunis masih segar dalam ingatan bekas polis, Sub Inspektor (B) Mohd Nasir Che Soh.
Mohd Nasir, 63, berkata, beliau mula berkhidmat di IPD Ampang (kini dikenali sebagai IPD Ampang Jaya) pada 1983 yang merupakan salah satu kawasan hitam yang perlu diberi perhatian dari sudut keselamatan.
"Pada ketika itu, kawasan tersebut masih 'black area', kita perlu meningkatkan rondaan dan mewujudkan pondok bit polis demi menjaga keselamatan penduduk.
"Dalam masa yang sama, anggota dan pegawai polis juga perlu berhati-hati terhadap ancaman komunis," katanya ketika ditemui pada Majlis Santai Reunion Otai IPD Ampang/ Ampang Jaya 2023 di sini pada Sabtu.
Mohd Nasir berkata, pihak polis juga pernah menjumpai tempat penyimpanan senjata komunis di kebun sayur di Taman Kosas (kini menjadi kawasan perumahan).
"Bekerja di IPD Ampang pada ketika itu dianggap amat istimewa kerana keakraban yang terjalin ibarat adik-beradik," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Santai Reunion Otai IPD Ampang/ Ampang Jaya 2023, Datuk Alias Abd Rahman berkata, seramai 120 bekas polis telah menghadiri majlis tersebut.
"Acara sebegini penting bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mereka yang pernah berkhidmat di IPD Ampang Jaya.
"Selain itu, kita juga dapat berkongsi pengalaman pahit dan manis ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia," katanya.