PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri tidak menyangka sepakan basikal menghasilkan gol ketika berdepan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Malah, jaringan peribadi ke-15, Forestieri musim ini kembali menjelmakan semula rentak penyandang juara sembilan kali berturut-turut itu dalam perlawanan tersebut.
"Sebenarnya saya tidak menyangka sepakan basikal itu akan menghasilkan jaringan.
"Malah saya hanya mengambil peluang melakukan sepakan ke arah gawang pasukan lawan.
"Dan apabila melihat bola menerjah jaring, saya meraikan jaringan bersama-sama rakan sepasukan,” kata pemain berusia 33 tahun itu dalam temubual selepas perlawanan tersebut.
Terdahulu Harimau Selatan melebarkan status pendahulu apabila menewaskan TFC, 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Gol Harimau Selatan dihasilkan Forestieri minit ke-21, penalti Bergson da Silva (m-48) dan Endrick (m-94) manakala jaringan sagu hati skuad Penyu dihasilkan Sony Norde minit ke-28.
Dalam pada itu, Forestieri mengakui gembira dengan tiga mata diraih JDT pada perlawanan tersebut.
"Bersama JDT, saya bukan sekadar sekadar mahu diingati sebagai penyerang memakai jersi nombor sembilan.
"Pengorbanan dalam memastikan kemenangan buat pasukan adalah lebih penting daripada menjaringkan gol,” katanya.
Dalam pada itu, Forestieri mengakui persembahan JDT dalam tempoh 20 minit pertama separuh masa pertama kurang menghadirkan kesan kepada skuad Penyu.
"Namun pasukan kembali bermain dengan gaya bola sepak JDT selepas saya menjaringkan gol pendahuluan.
"Tahniah juga kepada pasukan Terengganu yang mempamerkan persembahan berkualiti sekali gus menjadikan permainan lebih menarik.
"Sejujurnya saya tidak menjangkakan Terengganu bertambah baik pada pusingan kedua,” katanya.
Mengenai gol ke-15 musim ini, Forestieri menyifatkannya hasil kerjasama berpasukan pemain Harimau Selatan.
"Tanpa bantuan rakan sepasukan, adalah mustahil untuk saya menjaringkan gol selain sokongan para penyokong.
"Biarpun begitu selepas ini kami perlu bekerja lebih keras lagi kerana setiap pasukan lawan semakin bertambah baik setiap musim,” katanya.
Sementara itu, tiga mata diraih Harimau Selatan ketika menjinakkan skuad Penyu sekali gus melebarkan rentak kemenangan disifatkan bukan satu tugas mudah.
Sebaliknya pengendali JDT, Esteban Solari mengakui persembahan skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner itu semakin meningkat berbanding pusingan pertama sebelum ini.
"Ya, kami sememangnya sebelum perlawanan telah menjangkakan berdepan tentangan sengit Terengganu tambahan pula kami bermain di laman lawan.
"Dan sememangnya Terengganu memberikan tekanan sejak awal permainan lagi, namun saya gembira apabila para pemain dapat kembali mengekalkan gaya permainan pasukan,” katanya.