KOTA BHARU - Kerajaan sedia menjadikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sebagai perintis kepada tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan sedia menaik taraf sistem saliran untuk memastikan bekalan air ke sawah dapat dilakukan dengan sempurna.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan projek tersebut akan bermula pada akhir tahun nanti.
Ujarnya, penggunaan teknologi baharu dan benih-benih padi menggunakan varieti baharu yang telah diuji dipelbagai tempat akan turut digunakan.
Mohamad memberitahu, teknologi itu mampu meningkatkan pengeluaran hasil padi negara pada masa hadapan.
"Kita menggalakkan petani mengusahakan padi dalam skala yang lebih besar dengan menjadikan Sekinchan, Selangor menjadi contoh dan ikutan.
"Hal ini kerana hasil padi yang paling tinggi di Malaysia adalah di sana. Mereka dapat antara tujuh hingga 12 tan hasil untuk satu hektar. Kalau musim merosot mereka masih mampu memperoleh tujuh tan hasil," ujarnya.