KUANTAN - Rang Undang-Undang Wakaf Wilayah Persekutuan bakal digubal bagi mewujudkan satu kaedah pentadbiran dana wakaf, sebelum penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, hal ini bertujuan bagi menampung keperluan dana pendidikan dengan melibatkan sumbangan kewangan daripada orang awam.
Menurutnya, sudah tiba masa kerajaan mengguna pakai model universiti terkenal luar negara seperti Universiti Harvard dan Universiti Al Azhar yang mewujudkan sistem wakaf kepada para pelajar institusi pengajian tinggi.
"Draf Rang Undang-Undang ini sudah siap dan dijangka akan dibawa ke Parlimen untuk digubal sebelum penghujung tahun ini.
"Kita menyedari kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan dan institusi dalam membantu para pelajar berkelayakan namun, dalam masa sama mahu lebih ramai pelajar menerima faedah.
"Oleh sebab itu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil pendekatan menggunakan instrumen seperti zakat dan wakaf supaya boleh banyak membantu perkembangan sosio ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian pada malis Kecemerlangan Alademuk Juara Empower ECER 2018 (Daerah Kuantan dan Pekan) di Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Cancelor UMP, Profesor Datuk Seri Ts Daing Mohd Nasir Ibrahim.
Dalam program itu sejumlah 81 pelajar dari Pekan dan Kuantan yang mencatat keputusan membanggakan dalam UPSR, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan SPM tahun 2018 diraikan dan diiktiraf pencapaiannya.
Mereka diiktiraf sebagai Juara Empower ECER yang mampu menjadi contoh dan sumber inspirasi bagi peserta peserta program yang lain.
Fuziah berkata, apa yang penting inisiatif tersebut dapat membantu membangunkan lebih ramai anak-anak B40.
"Selain dari bajet kerajaan kita perlu urustadbir yang baik. Sebab itu kita sedang gubal rang undang-undang wakaf.
"Rang Undang Undang Wakaf dibawa ke Wilayah Persekutuan. Perlu diingat bahawa undang undang agama adalah di bawah kerajaan negeri, apabila dibawa ke Parlimen ia boleh jadi model di peringkat negeri sebagai enakmen dan mereka boleh ambil dan gunapakai sebagai rang undang undang negeri," katanya.