GEORGE TOWN - Parti Gerakan, komponen gabungan Perikatan Nasional (PN), berhasrat untuk bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang yang akan datang.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu ialah Pulau Tikus, Pantai Jerejak, Kebun Bunga, Padang Kota, Batu Lanchang manakala lapan lagi akan diputuskan kemudian.
"Setakat ini kita masih dalam rundingan (dengan komponen PN) untuk mengenal pasti calon dan kerusi DUN yang akan ditandingi. Kita mungkin bertanding lebih 13 kerusi, tetapi semuanya bergantung kepada hasil rundingan," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Menurutnya, proses rundingan sudah mencapai 95 peratus dan parti itu sedang meneruskan perbincangan lanjut berhubung beberapa isu yang perlu diteliti mengenai pembahagian kerusi.
Katanya kali ini, Gerakan akan mempertaruhkan kira-kira 70 peratus muka baharu.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 37, termasuk dua oleh calon Bersatu, manakala Barisan Nasional menang dua, dan Pas berjaya satu.
Bersatu pernah menjadi tonggak PH tetapi kini beralih kepada PN, pakatan pembangkang, termasuk Pas.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini mengumumkan bahawa DUN akan dibubarkan pada 28 Jun untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri. - Bernama.