JOHOR BAHRU - UMNO tidak akan mengalami apa-apa kerugian jika membuka semula pintu dan ruang kepada mana-mana pemimpin yang dipecat atau digantung keahlian sebelum ini.
Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, dalam keadaan UMNO ketika ini, segala usaha perlu digembleng untuk membina semula kekuatan parti.
Menurutnya, kesediaan UMNO untuk menerima bekas ahli dan pemimpin ini menunjukkan keterbukaan dan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Jika bekas pemimpin dan ahli ini diterima masuk semula ke dalam parti UMNO, akhirnya parti itu sendiri yang akan mendapat manfaat.
"Saya berpandangan bahawa UMNO tidak akan mengalami apa-apa kerugian, jika membuka semula pintu dan ruang kepada mana-mana pemimpin dan juga ahli yang dikenakan tindakan disiplin.
"Dalam keadaan UMNO hari ini, segala usaha perlu digembleng untuk membina semula kekuatan parti termasuk pengaruh dan nama besar yang ada pada sebahagian pemimpin dan ahli yang kini sedang berdepan dengan tindakan disiplin," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abd Ghani Abd Rashid berkata, kesediaan Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menggugurkan hukuman gantung dan menerima ahli yang dipecat adalah sangat dialu-alukan.
"Tindakan itu juga selari dengan kenyataan Presiden yang mahu mencari titik persamaan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO.
"Fokus utama UMNO ialah memperkukuhkan parti itu melalui kesatuan di dalam keluarga UMNO sendiri. UMNO Sembrong berharap, tindakan penyatuan ini dapat direalisasikan secepat mungkin," katanya.
Pada Sabtu, Ahmad Zahid menyatakan UMNO akan meneliti rayuan ahlinya yang digantung keahlian untuk kembali aktif dalam perjuangan parti.
Beliau berkata, pihak Lembaga Disiplin UMNO akan meneliti setiap rayuan yang diterima sebelum keputusan akhir sama ada rayuan tersebut diterima atau tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).
Pada 27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggantung keahlian bekas ADUN Tiram, Datuk Maulizan selama enam tahun.
Turut digantung Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
ARTIKEL BERKAITAN:
UMNO tidak terima rayuan ahli dipecat
'Tak salah terima semula ahli UMNO dipecat' - Akmal
MKT terbuka terima kembali ahli digantung, dipecat - Ahmad Zahid