PUTRAJAYA - Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor yang baharu akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, pengarah baharu itu bertanggungjawab meningkatkan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai di negeri itu khususnya di kawasan perindustrian Pasir Gudang.
Iklan
Iklan
"Saya akan melantik individu terbaik dari ibu pejabat bagi menjadi Pengarah JAS Johor sekali gus dapat melakukan pembaharuan. Ini termasuklah meningkatkan denda dan kes yang dibawa ke mahkamah.
"Langkah ini adalah usaha keras kementerian bagi menyelesaikan isu 20 sungai tercemar di negeri itu yang dikategorikan antara kelas tiga hingga lima. Selain itu, kita mahu pastikan tragedi pencemaran Sungai Kim Kim tidak berulang.
"Bukan sahaja kita nak kawal pengeluaran bahan terlarang daripada kilang berlesen, tetapi juga daripada kilang haram. Sebab itu saya melantik pegawai terbaik dalam JAS Johor," katanya pada sidang akhbar sempena setahun pentadbiran PH di Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh diarah bertukar ke Putrajaya sebagai Ketua Unit Pengurusan Sisa Toksik dan Pembuangan Berjadual Kebangsaan berkuat kuasa 1 April lalu.
Artikel Berkaitan