KEHANGATAN Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 semakin dirasai apabila kebanyakan negara bertanding kini berada di Malaysia.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, beberapa kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong tiba sejak Sabtu lalu.
"Saya dimaklumkan Taiwan merupakan kontinjen terawal yang sampai ke negara ini pada 30 Jun lalu. Malah, barisan pelumba dari Taiwan telah mula berlatih sebaik mereka tiba di Malaysia.
"Setakat hari ini, apa yang telah dimaklumkan kepada saya oleh pihak sekretariat, hampir semua negara peserta telah sampai, hanya tiga negara peserta iaitu Thailand, Indonesia dan India belum tiba.
"Saya jangkakan kesemua pelumba dari ketiga-tiga negara itu akan sampai esok (Isnin) kerana sesi latihan rasmi akan bermula Isnin dan Selasa nanti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagi edisi kali ini yang bakal diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 14 hingga 19 Jun ini, sebanyak 17 negara mengesahkan penyertaan termasuk Malaysia selaku tuan rumah.
Daripada senarai negara peserta, seramai lebih 400 pelumba termasuk 60 pelumba para (non-able) bakal mengambil bahagian pada kejohanan itu menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
"Sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran para pelumba terbaik dari rantau Asia bertanding pada kejohanan kali ini selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2018.
"Saya percaya kejohanan kali ini menjadi pelumba terbaik Asia dalam memungut mata penting untuk melayakkan mereka beraksi pada Sukan Olimpik di Paris tahun depan.
"Begitu juga dengan barisan pelumba Malaysia yang pastinya mahu mengambil peluang masing-masing beraksi di tempat sendiri bagi mencipta kejayaan di tanah air tercinta,” ujar Abu Samah.
Tumpuan peminat tempatan sudah pasti terarah kepada dua jagoan - Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjadi sandaran menyambar emas dalam acara yang mereka sertai.
Azizulhasni sebelum ini telah menyatakan mahu mencipta legasi di pentas ACC selepas berjaya merangkul 10 pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa sepanjang menyertai kejohanan berprestij Asia itu sejak tahun 2007.