KUCHING - Seorang wanita berusia 55 tahun mengalami kerugian RM1.18 juta apabila menjadi mangsa penipuan penyamaran menerusi panggilan telefon akibat terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram.
Menerusi laporan polis yang dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon pada 22 Mei lepas daripada seorang lelaki tidak dikenali dari Putrajaya yang mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah untuk memfitnah Kementerian Kesihatan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada dua individu kononnya pegawai berpangkat bernama"Sarjan Wong” dan"Inspektor Khoo” dari Kota Kinabalu yang mengatakan mangsa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram.
"Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wang mangsa dan mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas nama mangsa dan memindahkan wang milik mangsa ke akaun baharu itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Akibat panik, Mohd Azman berkata, mangsa telah membuka tiga akaun bank yang berbeza di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun serta memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000 ke dalam akaun bank baharu.
Menurutnya, wanita itu turut diarahkan oleh suspek kononnya"lnspektor Khoo” untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.
"Mangsa juga dikehendaki untuk mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM tersebut. Mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya serta menghubungi pihak bank tentang transaksi itu,” katanya. - Bernama.