KOTA BHARU - Barangan kegunaan rumah dari negara empat musim kini mendapat perhatian pencinta barangan terpakai kerana lebih murah tetapi masih berkualiti.
Menurut peniaga barangan kegunaan rumah terpakai dari luar negara, Azwan Ab Wahab, 37, berkata, barangan berkenaan menjadi kegilaan berikutan ramai yang kini semakin berminat mendekorasi rumah.
Katanya, antara yang menjadi rebutan golongan itu ialah selimut, cadar, sarung bantal, alas kaki dan pelbagai jenis botol serta perhiasan.
"Kebanyakan barangan yang mereka pilih ialah dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Korea," katanya ketika ditemui di gedung barangan terpakai miliknya di Salor.
Azwan memberitahu, banyak barangan dari negara berkenaan berwarna putih sekali gus sesuai dengan semua tema hiasan rumah.
Bapa kepada lima anak itu juga berkata, setiap hari dia menerima ramai pelanggan yang mencari barangan dekorasi rumah.
"Ada yang menghabiskan masa lebih lama mencari untuk disesuaikan kerana setiap perkakas atau perhiasan yang dibeli tidak akan sama.
"Jadi mereka perlu meneliti dan memadankan perhiasan atau cadar dan bantal bagi menyerlahkan lagi suasana dalam rumah," katanya.
Jelasnya, pelanggan lebih teruja apabila mendapat barangan jenama pereka terkenal.
"Walaupun ada individu yang berpendapat jenama barangan terpakai sudah 'out of date' namun bagi penggemarnya, perkara itu tidak menjadi masalah asalkan puas hati dan cantik mata memandang," katanya.
Selain itu jelasnya, ramai yang membeli selimut, pelapik tilam dan lantai untuk dipasang di inap desa atau rumah sewa kerana saiz yang datang dari empat negara itu sesuai dengan perabot di negara ini.
Azwan yang lebih 10 tahun terlibat menjual pakaian dan peralatan rumah terpakai hanya memilih yang terbaik pelanggannya.
"Lebih ramai yang memilih pakaian serta peralatan rumah terpakai berikutan bahan buatannya berkualiti dan boleh dibaiki," katanya.