Ke mana hala tuju selepas SPM?

Iklan
Pelajar SMKA Naim Lilbanat, Kelantan yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2022.

PADA Khamis lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 diumumkan dengan seramai 10,109 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian calon SPM pada 2022 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.74 berbanding 4.86 pada tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Seperti sedia maklum, SPM tahun tersebut berlangsung dalam suasana fasa endemik, berbeza dengan tahun sebelum itu yang dikatakan ‘batch corona’.

Keputusan tersebut pastinya ditunggu-tunggu oleh semua calon yang sudah pastinya mempunyai perancangan seterusnya sama ada menyambung pengajian ataupun terus bekerja.

Iklan

Bagi calon kategori cemerlang mungkin tidak mempunyai masalah untuk mendapat tempat di mana-mana pusat pengajian tinggi, tetapi bagaimana pula dengan nasib segelintir pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM?

Menerusi laporan media sebelum ini, berlaku peningkatan pelajar lepasan SPM yang enggan melanjutkan pelajaran iaitu daripada 115,939 orang pada 2020 kepada 180,680 pada 2021.

Iklan

Jelas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, data tersebut diambil daripada sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) memaklumkan hampir separuh pelajar lepasan SPM tahun 2021 tidak mahu menyambung pengajian ke menara gading.

Menurut beliau, kementerian sedang melaksanakan rancangan pembangunan peribadi dan pendidikan kerjaya di sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pendidikan, di samping melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan minat untuk kerjaya masa depan.

Guru kaunseling juga telah diberi taklimat mengenai trend kerjaya terkini memandangkan peranan mereka dalam menasihati pelajar sekolah menengah mengenai kemungkinan laluan kerjaya masa depan.

Bagaimanapun, penulis percaya tidak memperoleh keputusan cemerlang dan tidak melanjutkan pelajaran bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan dalam meniti kehidupan yang lebih mencabar.

Mungkin mereka ini ingin bekerja kemudian menyambung pengajian disebabkan kekangan kewangan dan keterbatasan pengangkutan akibat tekanan daripada faktor ekonomi yang agak menekan terutamanya kos sara hidup.

Selain itu, mungkin juga disebabkan kos untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi agak tinggi, sekali gus terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Jumlah kos untuk menyambung pengajian sudah tentu meliputi purata yuran, penginapan, belanja harian dan lain-lain sepanjang tiga hingga empat tahun pengajian di peringkat diploma, mahupun sarjana muda.

Menerusi satu perkongsian calon SPM dalam laporan akhbar, seorang anak yang mengalami masalah pembelajaran mempunyai cita-cita yang tinggi untuk berjaya, malah berjaya dibuktikan dengan memperoleh 11A dalam SPM. Dia juga berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan perisian di luar negara dan disokong ibunya.

Selain itu, seorang rakan penulis meluahkan rasa kecewa apabila seorang daripada enam anaknya hanya memperoleh 2A dalam SPM pada tahun 2003, kemudiannya bekerja di sebuah pam minyak di ibu negara dengan pendapatan ketika itu sekitar RM500 ke RM800 sahaja.

Malah, dia mengakui agak kecewa kerana anaknya itu ‘tidak menjadi’ berbanding adik beradik yang lain. Anaknya itu kemudian memohon memasuki Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun tidak lama apabila berhenti selepas 15 tahun berkhidmat.

Keadaan itu terus menerus memberikan kekecewaan kepadanya sebagai ibu kerana kebanyakan pekerjaan yang dilakukan anaknya tidak menjadi.

Bagaimanapun, katanya, hari ini baru dia sedar bahawa anaknya itulah yang menjadi penemannya setiap hari termasuk ketika mendapatkan rawatan susulan di hospital akibat penyakit strok.

Pun begitu, di peringkat kementerian, tidak dinafikan terdapat banyak usaha membantu pelajar dalam memastikan hala tuju lepasan SPM ini mencapai tujuannya dalam melengkapkan mereka dengan ilmu sebelum meneruskan perjuangan membangunkan negara.

Tepuk dada, tanyalah selera. Sekiranya benar-benar ingin mengubah kehidupan, rancanglah ‘perjalanan hidup’ masing-masing sebelum semuanya terlambat.

* Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan/Melaka