PELUMBA sensasi, Francesco Bagnaia memberikan hadiah bermakna buat peminat apabila mengungguli Grand Prix (GP) Itali di laman sendiri, Mugello pada malam Ahad.
Malah kemenangan itu lebih bermakna kerana pasukannya, Ducati berasal dari negara itu.
Ia merupakan kemenangan ketiga Bagnaia selepas menawan litar di Portugal dan Sepanyol.
Kemenangan itu menjarakkan kedudukan dengan pesaing terdekat, Marco Bezzecchi yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kelapan.
Jorge Martin menduduki tempat kedua, manakala Johann Zarco melengkapkan penguasaan Ducati apabila meraih podium ketiga pada pusingan keenam musim ini.
Kejayaan Bagnaia itu amat menggembirakan puluhan ribu penyokong di laman sendiri.
"Saya tak jangka perlumbaan seperti ini (kejayaan di laman sendiri).
"Tugas selesai, selepas ini kami akan beri tumpuan perlumbaan seterusnya di Jerman minggu depan," katanya.
Menerusi kemenangan itu, Bagnaia ketika ini mengutip 131 mata, berkelebihan 21 mata berbanding Bezzecchi.