Kewajaran isu rokok, undi 18 tahun

Iklan
Kerajaan kemungkinan kehilangan hasil cukai yang mungkin datang daripada jualan rokok dan isu privasi berkaitan pengesahan umur yang perlu dilakukan oleh penjual rokok selaras dengan memastikan pembeli dilahirkan selepas 2007. - Gambar hiasan

SOALAN Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan ‘Mengapa generasi muda diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun tetapi masih dilihat tidak mampu membuat keputusan merokok’ mengundang beberapa pandangan yang melihat kewajarannya.

Beliau yang secara terang menolak dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) berkata demikian pada sidang akhbar di Parlimen baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Sebaliknya kata beliau, kerajaan boleh melaksanakan cukai lebih tinggi ke atas rokok dan bukannya menyekat mereka daripada membuat keputusan.

"Saya tidak mengatakan bahawa ia adalah perkara yang betul untuk membenarkan generasi akan datang merokok, tetapi ia harus menjadi pilihan untuk mereka dan bukan sesuatu untuk kita ambil (daripada mereka),” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen merujuk kepada gerakan Undi 18.

Iklan

Beberapa penganalisis politik bersetuju dengan pendirian Ramanan kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan peratusan tinggi pengundi 18 tahun telah mengakibatkan tiada mana parti pun menguasai majoriti memaksa Kerajaan Perpaduan dibentuk.

"Malah pembentukan kerajaan campuran sehingga hari ini berdepan kecanggungan besar untuk menjelaskan kepada ahli-ahli peringkat akar umbi. Lihat sahaja kenyataan Ketua Pemuda UMNO dalam perhimpunan agung parti itu sekarang,’’ kata seorang penganalisis.

Iklan

Seorang pensyarah kolej juga sependapat bahawa faktor pengundi 18 tahun tidak boleh diperlekehkan.

"Pengundi 18 tahun akan melihat kerajaan yang mereka undi lebih cenderung meragut kebebasan mereka dalam membuat keputusan dan akan bertindak balas semasa pilihan raya.

"Malah, perkara ini berkemungkinan menjadi ‘senjata ampuh’ kepada parti lawan dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi walaupun mereka bukan sangat didorong oleh soal rokok tetapi melihat soal ‘kebebasan memilih’ boleh dijadikan isu,” kata beliau.

Kenyataan Ramanan itu bagaimanapun dikritik oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dalam satu hantaran di media sosialnya.

Ramanan berkata, kerajaan kemungkinan kehilangan hasil cukai yang mungkin datang daripada jualan rokok dan isu privasi berkaitan pengesahan umur yang perlu dilakukan oleh penjual rokok selaras dengan memastikan pembeli dilahirkan selepas 2007.

Beliau menegaskan dasar itu memerlukan lebih banyak kajian dan penyelidikan sebelum ia boleh dilaksanakan dan negara lain tidak melaksanakan undang-undang sedemikian dan hanya menelitinya.

"Tambahan pula, banyak pekerjaan akan hilang dan banyak kedai terpaksa ditutup untuk menampung dasar itu, terutamanya yang terlibat dalam industri vape,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya perlu membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebaik sahaja ia melakukan semua kajian yang sewajarnya dan menjawab semua soalan daripada pakar dan pemain industri.

Rang undang-undang yang bertujuan untuk mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir selepas tahun 2007 diperkenalkan oleh Khairy Jamaluddin tahun lepas.

Minggu ini, KKM berkata, ia bersedia untuk membentangkan semula Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok yang dinanti-nantikan pada 12 Jun untuk bacaan kali pertamanya di Parlimen.

Versi pertama rang undang-undang itu pertama kali dibentangkan di Parlimen pada Julai tahun lalu ketika Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan.

Ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas rang undang-undang itu mendapat kritikan kerana ‘terlalu keras’.

*Iskandar Maycha, Petaling Jaya.