Jangan terikut permainan politik semai kebencian terhadap PM

Iklan
Abu Bakar Yahya

PUTRAJAYA - Rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan permainan pihak tertentu yang cuba mencetuskan sentimen negatif serta tidak adil terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya mendakwa, terdapat pihak tertentu mengadakan Deklarasi Rakyat 2.0 bertujuan untuk memecat Dr Mahathir dan tindakan itu hanya helah politik memesongkan pemikiran rakyat.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, adalah tidak adil sekiranya ada pihak mempertikai apatah lagi menghasut rakyat untuk menggagalkan usaha Perdana Menteri mengembalikan hak rakyat sekali gus meletakkan hala tuju negara pada landasan yang betul dari sudut ekonomi, politik serta pentadbiran.

"Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Dr. Mahathir hanya baru berusia setahun dan sudah tentunya banyak perkara yang perlu diperbetulkan semula ekoran kerosakan yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Iklan

"Semua pihak perlu akui bahawa usaha pemulihan itu bukan perkara yang mudah. Ibarat sebuah rumah, lebih mudah membina yang baharu daripada membetulkan rumah yang banyak rosaknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang peguam menganjurkan Deklarasi Rakyat 2.0 bagi mengumpul minima 1.1 juta tandatangan rakyat untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Mahathir atas beberapa isu..

Iklan

Sebaliknya, Abu Bakar menyeru agar rakyat bersama-sama membantu serta memberikan sokongan teguh kepada Perdana Menteri yang bertungkus-lumus memperbetulkan kerosakan dalam sistem pentadbiran negara selain memperkasakan semula kekuatan ekonomi negara.

Dalam masa sama, Abu Bakar turut menyifatkan gerakan Deklarasi Rakyat 2.0 tidak menepati kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Dr Mahathir menerusi pilihan raya serta mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara yang sedia ada.