KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes bekas pemimpin parti Bersatu Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjuddin yang berdepan tuduhan melakukan seks menggunakan objek, terhadap seorang wanita tanpa kebenarannya di tandas restoran, Januari lalu.
Hakim, Siti Aminah Ghazali menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip supaya memutuskan prosiding lain bagi serahan dokumen berkaitan kes.
Ketika prosiding, Nidzuwan berkata, sebahagian dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan manakala selebihnya pada sebutan akan datang.
Sementara itu, peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang mewakili bekas Pengarah Logistik dan Keselamatan Gerak Gempur Bersatu Bahagian Shah Alam itu, mengesahkan perkara berkenaan.
Selain Mohamad Hanafiah, ahli perniagaan berusia 42 tahun itu turut diwakili peguam, Datuk Ishak Mohd Yusoff.
Pada 11 Mei lalu, Wan Mohammad Ashraf mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan seks ke atas seorang pegawai bank, ketika kejadian berusia 25 tahun 11 bulan, di tandas wanita sebuah restoran di hotel Jalan Bukit Bintang di sini pada jam 5 pagi, 2 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa.