KUALA LUMPUR - Venezuela pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa agar menolak kekerasan dan tindakan jenayah berterusan yang boleh menyebabkan negara itu musnah susulan satu percubaan rampasan kuasa yang gagal ke atas kerajaan sah Presiden Nicolas Maduro pada Selasa.
Kenyataan Kedutaan Venezuela di Malaysia pada Khamis berkata dunia perlu menghentikan serta menolak percubaan ganas dan tindakan jenayah sedemikian.
"Venezuela menggesa masyarakat antarabangsa agar menolak percubaan rampasan kuasa yang ganas ini memandangkan ia mencabul keseluruhan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjejaskan keamanan di rantau ini.
"Masyarakat antarabangsa perlu menyatakan pendirian tegas dalam mempertahan prinsip kebebasan, kedaulatan, penentuan nasib sendiri oleh rakyat dan keamanan semua negara,” menurut kenyataan itu.
Venezuela berkata ia menuntut rasa hormat terhadap kedaulatannya dan mengutuk sikap anti-demokratik pihak yang cuba merampas kehendak rakyat Venezuela, yang telah memilih semula Maduro sebagai presiden pada Mei 2018.
Kedutaan itu berkata kerajaan Venezuela telah mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara itu selain bertindak pantas dalam mengasingkan tumpuan rusuhan dengan amat berhati-hati demi memelihara hak asasi manusia dan kebebasan asas rakyat.
Menurut kedutaan itu, pada awal pagi 30 April, beberapa timbalan Dewan Perhimpunan Kebangsaan dan sekumpulan kecil anggota berpangkat rendah telah menyeru ke arah pemberontakan tentera namun telah diabaikan oleh penguatkuasaan undang-undang.
"Sejak itu, semua pihak berkuasa awam telah menyatakan sokongan terhadap kerajaan berperlembagaan Presiden Nicolas Maduro yang sah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut Menteri Pertahanan Vladimir Padrino Lopez mengesahkan bahawa Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivarian berdiri teguh dalam mempertahankan perlembagaan Venezuela dan pihak berkuasanya yang sah.
Menurut laporan, Guaido mengumumkan bahawa satu rampasan kuasa sedang berlaku pada awal Selasa sambil mengeluarkan satu rakaman video menunjukkan dirinya diiringi sekumpulan tentera yang dikatakan telah berpaling tadah terhadap kerajaan, berada berhampiran pangkalan La Carlota.
Bagaimanapun kerajaan Venezuela pada Rabu mengisytiharkan bahawa pasukan keselamatan telah berjaya menggagalkan percubaan rampasan kuasa itu.
Krisis di Venezuela memuncak selepas pelantikan Maduro sebagai presiden bagi penggal kedua selama enam tahun pada 10 Jan 10, yang disusuli tindakan Juan Guaido, pada 23 Jan mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara semasa satu perhimpunan jalanan di Caracas, langkah yang kemudian diiktiraf oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada dan kebanyakan negara Amerika Latin.
Mendakwa penggal kedua Maduro sebagai tidak sah di sisi undang-undang, Guaido mendakwa perlembagaan Venezuela membenarkan beliau mengambil alih jawatan presiden.
Pada 24 Jan, AS mengumumkan pengiktirafannya terhadap Guaido sebagai presiden Venezuela yang sah manakala kuasa besar seperti Rusia dan China menyokong Maduro. -Bernama