[VIDEO] Penduduk gesa Sanusi campur tangan, batal projek kuari

Iklan
Penduduk yang tinggal berdekatan Gunung Pulai dan Gunung Baling gesa projek kuari di situ dibatalkan.

BALING - Lebih 1,000 penduduk yang tinggal berdekatan Gunung Pulai dan Gunung Baling di sini menggesa campur tangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membatalkan projek kuari di kawasan terbabit.

Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Mohd Sobri Ramlee berkata, tapak kuari itu berada pada kedudukan kurang 500 meter dari kawasan penempatan penduduk dan dijangka akan beroperasi pada bila-bila masa sahaja.

Iklan
Iklan

Katanya, penduduk akan berhadapan dengan pelbagai komplikasi dari segi sosial dan ekonomi jika projek itu dibiar berterusan.

"Ini bukan kali pertama kami melakukan bantahan, jika dikira sudah 12 kali kami buat bantahan untuk Gunung Pulai dan Gunung Baling sebanyak dua kali sejak tahun 2018.

Iklan

"Surat rasmi juga telah dihantar kepada pihak menteri besar tetapi tiada jawapan bertulis sehingga sekarang," katanya ketika ditemui pada sidang media di Kampung Padang Che Mas di sini pada Ahad petang.

Mohd Sobri mendakwa, projek berkenaan mendapat kelulusan laporan awal Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Iklan

"Projek ini akan dijalankan bagi jangka masa 125 tahun di Gunung Pulai, manakala di Gunung Baling pula selama 145 tahun," katanya.

Ujarnya, penduduk sebelum ini dimaklumkan bahawa projek kuari itu ditangguhkan setelah beberapa gesaan dibuat penduduk.

"Bagaimanapun tinjauan yang kami buat mendapati jalan di situ baharu saja ditolak kembali, ini bermakna masih ada usaha untuk memastikan projek kuari ini tetap diteruskan," katanya.

Mohd Sobri berkata, beliau juga kecewa kerana kajian dibuat bagi penyediaan laporan EIA adalah tidak terperinci apabila spesis flora terancam iaitu Sohmaea teres (Fabaceae) yang hanya wujud di Banjaran Gunung Baling dan Gunung Pulai tidak disenaraikan.

"Perkara ini dibuktikan berdasarkan kajian lapangan di Gunung Pulai pada 2019 oleh pengkaji Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Projek kuari ini berpotensi menyebabkan kepupusan flora unik ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari di dua gunung berkenaan, Kamaruddin Zakaria, 57, yakin projek itu akan menjejaskan kualiti hidup penduduk di kawasan sekitar.

"Penduduk di sini rata-rata terlibat dalam bidang pertanian. Habuk dari kuari pastinya akan memberikan kesan kepada kualiti tanaman.

"Itu belum lagi soal pemandu arah, dan malim gunung yang bakal hilang mata pencarian. Kami penduduk di sini menolak sama sekali projek kuari terbabit," katanya.

Sebelum ini, kajian pakar-pakar sejarah, arkeologi dan Jabatan Warisan Negara mendapati kawasan cadangan projek Gunung Pulai dan Gunung Baling bersebelahan mempunyai nilai yang tinggi daripada perspektif warisan sejarah dan arkeologi.

Penemuan artifak dan ekofak (tinggalan arkeologi bukan hasil karya manusia) menunjukkan masyarakat terawal telah mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Gunung Baling kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu.