KUALA TERENGGANU - Proses agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah selesai 97 peratus.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan untuk beberapa kerusi yang masih berbaki akan dilakukan dalam keputusan akhir yang akan diputuskan dalam tempoh terdekat.
"Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima, enam kerusi belum selesai. Pilihan raya pun belum lagi, ada masa lagi.
"Baki agihan tiga peratus tu saya jangka siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program ESG Affairs 2023 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Terengganu Inc dan TNB Genco bagi projek Kajian pembangunan solar atas air terbesar Asia, di sini pada Isnin.
Sementara itu, ditanya tarikh bagi pembubaran DUN Terengganu, beliau yang juga Menteri Besar berkata, perkara itu perlu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"DUN Terengganu akan bubar apabila saya sembah maklum kepada Tuanku dan dapat perkenan baginda.
"Sudah ada gambaran tapi kena ikut prosesnya. Izinkan saya sembah maklum kepada Tuanku (terlebih dahulu). Namun hari terakhir DUN akan automatik terbubar pada 30 Jun ini,"ujarnya.
Mengulas mengenai proses agihan kerusi di Terengganu, Ahmad Samsuri memberitahu 99 peratus sudah selesai.
Dalam pada itu, katanya, proses pemilihan calon bagi PRN di enam negeri terlibat akan dibincangkan bermula malam Selasa.
Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran DUN di negeri terbabit berbeza.
PRN dijangka berlangsung pada Ogos depan selepas negeri berkenaan memutuskan untuk menangguhkan pembubaran DUN negeri masing-masing dalam PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu.