KUALA LUMPUR - Pendidikan, peningkatan kemahiran, latihan semula dan silang kemahiran yang berterusan adalah penting bagi memastikan wanita terus dilengkapi dengan keupayaan untuk bertahan di peringkat atas kepimpinan, kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkata, wanita harus memastikan bahawa kedudukan kepimpinan mereka bukan sekadar untuk memenuhi kuota sebaliknya adalah kerana mereka memiliki kemahiran.
"Memilih wanita (sebagai pemimpin) tidak seharusnya kerana terpaksa demi mematuhi peraturan. Kita sebagai wanita sepatutnya menjadi pilihan disebabkan keupayaan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Rantau Asia Pasifik di sini pada Isnin.
"Mereka yang lebih berpengalaman seharusnya menjadi sekutu dan model peranan kepada pemimpin baharu,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam posisi kepimpinan tidak boleh dicapai secara silo dan kolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan diperlukan untuk mencapai matlamat itu.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata, kolaborasi antara generasi lama dan baharu serta pelbagai negara mampu memperbaiki kedudukan golongan wanita dalam kepimpinan.
Persidangan meja bulat yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 14 Jun anjuran bersama Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteru Sedunia Rantau Asia Pasifik dengan sokongan Yayasan Temasek itu bertujuan membincangkan dan merumuskan strategi dalam amalan kepimpinan antara generasi ke arah rantau yang mampan serta berkembang maju.
Sejumlah 230 peserta berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun termasuk delegasi dari 15 negara seperti Australia, Bangladesh, Kemboja, Fiji, Hong Kong, India, Maldives, Korea Selatan, Sri Lanka dan Thailand mengambil bahagian. - Bernama