Sukma 2024: Lima sukan tambahan dipertandingkan

Iklan
Hannah

LIMA jenis sukan tambahan bakal dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Isnin, yang menyaksikan sofbol, catur, kabbadi, silambam dan kriket dipertandingkan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Ini keputusan bersama dengan semua Exco di mana lima sukan ini memenuhi syarat seperti mempunyai kejohanan remaja kebangsaan mereka masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pada Isnin.

Iklan

Hannah, bagaimanapun, menjelaskan penyenaraian lima sukan baharu itu adalah selain empat sukan dipersetujui penganjur (Sarawak) sebelum ini iaitu tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (e-sukan), dengan ia tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukma.

Sebelum ini, antara sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 adalah akuatik (renang dan terjun); angkat berat; badminton; berbasikal (trek dan lebuh raya); gimnastik (artistik dan gimrama); golf; lawan pedang; memanah; menembak; olahraga; pelayaran.

Iklan

Selain itu, hoki, judo; ping pong; taekwondo; karate; boling padang; pencak silat; sepak takraw; skuasy; tenpin boling; wushu; bola sepak; ragbi; bola jaring; bola keranjang; bola tampar dan tenis.

Terdahulu, mesyuarat itu turut menetapkan temasya edisi ke-21 itu akan dilangsungkan di lapan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri kecuali acara basikal trek diadakan di Semenanjung.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju supaya Sukan Para Sukma akan berlangsung pada 21 hingga 28 Sept 2024, membabitkan penganjuran di dua bahagian Sarawak iaitu Kuching dan Samarahan. - Bernama