KUALA LUMPUR - Sejak Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan Januari tahun lepas, jumlah kematian individu dalam tahanan polis yang direkodkan pada 2022 menurun sebanyak 48 peratus kepada 24 kes berbanding 46 kes bagi tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada keseluruhan kematian yang disiasat tahun lepas, USJKT mendapati dua kes mempunyai unsur jenayah iaitu satu di Taiping, Perak (sudah didakwa dan dalam proses perbicaraan) manakala satu lagi di Kelantan (dalam proses siasatan).
Iklan
Iklan
Beliau berkata, selain itu, terdapat enam kes dirujuk kepada Mahkamah Koroner dan empat daripadanya dalam prosiding inkues manakala dua lagi belum ada arahan lanjut.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk melaksanakan fungsi semak dan imbang bagi siasatan kes kematian individu dalam tahanan polis dan menambah baik pengurusan tahanan PDRM,” katanya ketika memberi penerangan kepada Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Isnin berhubung langkah Kementerian Dalam Negeri dalam menguruskan kes kematian dalam tahanan polis.
Shamsul Anuar berkata, menerusi penubuhan USJKT, pelbagai penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan polis dilaksanakan antaranya pemeriksaan lokap dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) lokap. - Bernama
Artikel Berkaitan