KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha mengesan seorang saksi penting berhubung kes pemerdagangan manusia dan penyeludupan imigran yang berlaku di daerah Kajang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, individu tersebut adalah Sivakumar a/l Thiarajah dengan alamat terakhir di 223 Jalan Tempua 6, Puchong Jaya, Selangor.
Menurutnya, penama itu sangat diperlukan sebagai saksi penting membabitkan satu kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah 7, Shah Alam, Selangor.
Beliau berkata, pada 16 Mei lalu, pihaknya menerima satu laporan berkaitan kes pemerdangangan manusia dan penyeludupan imigran melibatkan seorang lelaki warganegara India.
"Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan di Kajang.
"Polis juga telah menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian terbabit dan dituduh di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Justeru, Mohd Zaid berkata, pihaknya memerlukan kerjasama orang ramai untuk membantu pihak polis mengesan Sivakumar.
Katanya, penama juga boleh tampil sendiri untuk hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebagai saksi pendakwaan yang akan bersidang pada 15 Jun, 22 Jun dan 13 Julai depan.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai mempunyai maklumat berkenaan penama diminta menyalurkannya kepada pihak polis atau penama sendiri boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100.