28 sekolah sahut cabaran

Iklan
Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan berlangsung secara dalam talian pada 24 Jun ini.

SHAH ALAM - Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu, Jerantut, Pahang akan menganjurkan program Bicara Cilik Rasuah Busters untuk memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang bahaya dan kesan rasuah dalam masyarakat.

Guru Besar SKKB, Noraini A Malek berkata, program yang dianjurkan bersama dengan Rasuah Busters Sinar Harian itu akan berlangsung secara dalam talian pada 24 Jun ini, bermula jam 10 pagi sehingga 12:30 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesedaran bencikan rasuah perlu dipupuk melalui pendidikan dan hanya percambahan ilmu dapat mengubah minda sesuatu bangsa.

Program Bicara Cilik Rasuah Busters adalah kempen pendidikan antirasuah yang bermula dari peringkat akar umbi ke arah melahirkan masyarakat bebas rasuah.

"Besar harapan kita menerusi program ini dapat memberikan kesedaran tentang keruntuhan moral dan integriti seawal usia kepada masyarakat.

Iklan

"Kita juga mahu menanamkan nilai integriti dalam diri setiap individu termasuk murid-murid dan pelajar, sekali gus mahu melahirkan masyarakat yang bencikan amalan rasuah melalui pendidikan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Bicara Cilik Rasuah Busters akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Iklan

"Orang ramai boleh menonton program ini menerusi saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan di saluran Facebook Sinar Harian dan Rasuah Busters. Diharap masyarakat dapat bersama-sama menyertai program ini secara dalam talian,” kata Noraini.

Program Bicara Cilik dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu, Jerantut, Pahang dengan kerjasama Rasuah Busters.

Sementara itu, Penyelaras Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang juga Ikon Guru Perpustakaan dan Media Kebangsaan Tahun 2019, Norafizah Abdul Razak berkata, program itu akan disertai sebanyak 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dengan penglibatan seramai 29 murid lelaki, 29 murid perempuan dan 92 guru pembimbing seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Program ini dapat memperkasakan peranan Pusat Sumber Sekolah, Panitia Sejarah dan Kelab Rukun Negara; reset dan reformat nilai, moral serta karakter bangsa selari dengan nilai lima Rukun Negara.

Menurut Norafizah, sebanyak 10 tajuk bakal dikupas oleh pembentang cilik antaranya; Kenali Rasuah dan Punca Rasuah; Kesan Rasuah Kepada Ekonomi; Kesan Rasuah Kepada Institusi Sosial; Kesan Rasuah kepada Politik; Cara-cara menangani rasuah; Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah; Kajian terhadap kes rasuah di Malaysia; Huraian terhadap kesalahan rasuah di Malaysia dan Apakah Rasuah Busters?.

"Diharapkan kesedaran tentang integriti di peringkat awal usia meningkat dan sekolah menjadi penyumbang dalam kempen antirasuah melalui pendidikan,” katanya.