Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

Iklan
Gambar hiasan

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) membayar ganti rugi berjumlah RM281,807.20 kepada keluarga renjer yang maut selepas terkena tembakan rakan setugas dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun di Rembau pada 2018.

Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu pada Isnin berhubung tuntutan saman yang dibuat isteri mendiang Cyril Quing iaitu, Winnona Simon serta dua anak, Callista Wanda Cyril dan Calliandra Wenzel Cyril pada tahun 2020.

Iklan
Iklan

Keluarga mendiang memfailkan saman terhadap empat defendan iaitu ketua operasi, Mohamad Hakim Mohamed Khairuddin, 35, Pengarah Perhilitan, Ketua Pengarah Perhilitan dan kerajaan Malaysia.

Peguam, Ahmad Nabilimran Ahmad Halimi yang mewakili keluarga mendiang berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutannya di mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian mendiang.

Iklan

"Ini kerana, ketika operasi itu, mendiang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab defendan untuk memastikan keselamatan dalam operasi yang melibatkan senjata api.

"Mahkamah juga memaklumkan defendan kedua, ketiga dan keempat turut bertanggungjawab atas kecuaian defendan pertama," katanya kepada media pada Selasa.

Iklan

Ujarnya, mahkamah menetapkan bayaran RM165,307.20 untuk kehilangan tanggungan, RM10,000 untuk kedukaan, RM6,500 untuk kos pengebumian dan RM100,000 untuk kerosakan yang lebih teruk.

Tambahnya, mahkamah turut membenarkan faedah lima peratus untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman sehingga penghakiman dan 2.5 peratus untuk ganti rugi khas dari tarikh kejadian (29.8.2018) sehingga tarikh penghakiman.

"Selain itu lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos tindakan secara global sebanyak RM30,000," katanya.

Media pada 29 Ogos 2018 melaporkan kematian Cyril Quing, 35, ketika dia bersama 16 rakan setugas terbabit dalam operasi diadakan.

Bagaimanapun ketika operasi berkenaan, mangsa secara tiba-tiba berlari keluar hutan dan meminta bantuan rakan setugas lain kerana dia terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

Mangsa kemudian dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.