JURULATIH Manchester City, Pep Guardiola sudah mencongak masa depannya bersama juara trebel itu apabila akan meninggalkan Etihad selepas kontraknya tamat pada 2025.
Pengurus berusia 52 tahun itu sudah tujuh tahun bersama The Citizens sejak 2016.
Kemenangan The Citizens ke atas Inter Milan 1-0 di Istanbul menjulang mereka sebagai raja Eropah buat kali pertama dalam sejarah selepas merangkul kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA.
Jurulatih dari Sepanyol itu melanjutkan kontrak dua tahun lagi di Etihad pada awal musim ini.
Kejayaan merangkul trebel meningkatkan reputasi Guardiola sehingga dilabel antara jurulatih terbaik di dunia.
Hasil 'air tangan' Guardiola, City merangkul lima kejuaraan EPL, dua Piala FA, empat Piala Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara.
City dilaporkan mahu mengekalkan Guardiola untuk tempoh lebih lama, namun Guardian melaporkan dia mahu meninggalkan kelab itu dua tahun lagi setelah kontraknya tamat.
Selepas menabur bakti di Sepanyol, Jerman dan kini England, Guardiola dijangka menyertai pasukan Itali sebaik meninggalkan London.
Bagaimanapun, terdapat juga peluang besar untuk dia menyertai pasukan kebangsaan pada 2025, menjelang Piala Dunia 2026.
Selepas menjulang gelaran liga di Sepanyol dan Jerman bersama Barcelona serta Bayern Munich, England menjadi destinasi ketiga daripada divisyen 'Big Five' Eropah buat Guardiola merangkul pelbagai trofi.
Justeru, berkemungkinan Guardiola bakal berhijrah ke Itali atau Perancis untuk memenangi lebih banyak trofi sekali gus melengkapkan 'Big Five'.