BATU GAJAH - Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukkan kira-kira RM5 juta pada tahun ini bagi meneroka sektor agropelancongan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, usaha tersebut dilakukan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan selain bergantung kepada komoditi kelapa sawit dan pertanian.
Katanya, Perak SADC telah bergiat secara proaktif memperluaskan bidang agropelancongan dan ekopelancongan menerusi beberapa tempat yang dibangunkan seperti Perak Agrotourism Resort (Patro), Taman Herba, Masoorat Heritage Park, Denai Kabus dan Ulu Piah.
"Perak SADC juga dalam perancangan untuk melancarkan program agro dan ekopelancongan dengan kerjasama Tourism Perak serta beberapa agensi lain di Hulu Perak pada penghujung tahun ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
"Objektif utama program ini dilaksanakan untuk membuka ruang kepada pemain industri mempromosi produk-produk pelancongan mereka kepada masyarakat sekaligus menjana pendapatan masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama di antara Perak SADC dengan Papan Agro Valley Sdn Bhd di Lot 51300 Mukim Belanja di sini pada Selasa.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya dan Pengurus Besar Kanan Papan Agro Valley Sdn Bhd, Syed Muhammmad Haidzir Al Yahya Syed Kamal Al Yahya.
Menurutnya, kesemua lokasi berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti eksplorasi gua, tapak perkhemahan, aktiviti berbasikal, memancing, lawatan herba dan sebagainya.
Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, sebagai tambahan Perak SADC juga akan membangunkan satu lagi projek seumpamanya serta tanaman integrasi di kawasan Papan.
Katanya, melalui kerjasama itu ia diharap mampu memberi nilai tambah sekaligus mengembangkan lagi industri agropelancongan di Perak seterusnya menarik kehadiran pengunjung domestik dan luar negara.