POKOK SENA - Rundingan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah dijangka dimuktamadkan minggu depan.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, hanya berbaki tiga atau empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih perlu dirundingkan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, rundingan tersebut bukanlah disebabkan menemui jalan buntu mahupun sukar mencapai kesepakatan, sebaliknya terdapat beberapa aspek perlu diperhalusi.
"Rundingan itu akan berjalan dalam tempoh seminggu akan datang. Kawasan mana (belum boleh umum) rahsia, nanti selesai runding, kita umumkan untuk pengetahuan semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ramah mesra ahli- ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Selasa.
Mahfuz berkata, perbincangan dua pihak berlangsung dalam harmoni dengan masing-masing mencari titik persamaan menerusi kempen PRN ‘kalih bagi sama’.
"Titik persamaan PH-BN itu harus seiring dengan Kerajaan Persekutuan supaya mudah untuk kita berunding. Kalau ada sedikit pertengkaran itu proses biasa dalam perundingan, nak buat kenduri kahwin pun bertengkar juga, cuma tidak sampai ke tahap sukar,” jelasnya.
Menurutnya, biarpun setiap parti dalam kedua-dua gabungan menuntut lebih kerusi untuk ditandingi, namun itu sekadar adat dalam perundingan dan diyakini dapat diselesaikan dengan baik.
"Kami juga bersetuju mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PH atau BN sebelum ini tidak akan diusik. Contohnya, tiga kerusi dimenangi BN sebelum ini akan kekal milik mereka dan begitu juga sebaliknya, sebab ia kemenangan atas parti masing-masing,” jelasnya.
Mahfuz turut memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu disandang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang kini berhijrah daripada Amanah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan kuota Amanah.
"Kerusi itu kekal milik Amanah. Ini kerana kemenangan di DUN berkenaan adalah atas kapasiti parti (Amanah) dalam pilihan raya lalu,” jelasnya.