TAPAH - Seorang remaja lelaki maut manakala tiga yang lain cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlanggar sekumpulan kerbau di Kilometer 2, Jalan Sungai Kroh- Air Kuning di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Haddrie Naim Azmi, 19, yang menunggang skuter jenis Yamaha Avantis Ego sendirian disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat penunggang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning.
"Apabila sampai di tempat kejadian terdapat sekumpulan kerbau berada di atas jalan raya.
"Oleh kerana jalan yang terlalu gelap dan tiada lampu jalan, kesemua mangsa telah melanggar kerbau lalu jatuh atas jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, tiga penunggang lain berusia 14, 16 dan 21 tahun yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Kampar bagi mendapatkan rawatan lanjut
"Mayat mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Mohd Yusri berkata, penternak yang sengaja melepaskan ternakan sehingga berlaku kemalangan boleh didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam kerana haiwan.
"Jika sabit kesalahan penternak boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
"Penternak diingatkan agar lebih bertanggungjawab dengan tidak membiarkan haiwan mereka berkeliaran di jalan raya hingga menyebabkan kemalangan," ujarnya.