PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Meskipun dilahirkan dalam keluarga yang memegang status orang kurang upaya (OKU), ia tidak menghalang Muhammad Zulhilmi Mohd Zaidi, 18, memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Zulhilmi mempunyai masalah penglihatan terhad sejak lahir dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setiap enam bulan sekali.
Turut mengalami masalah sama, ibunya, Siti Esah Manab, 44, sementara ayahnya, Mohd Zaidi Rosli, 47, dan dua adik-beradiknya, Muhammad Zahiruddin, 15, serta Siti Damia, 5, menghidap buta penglihatan penuh.
Atas kekurangan yang dihadapi tersebut, pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Sahabat Insani (MTISI) itu menyimpan tekad untuk cemerlang dalam pelajaran bagi mengubah nasib keluarganya.
Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) itu mencatatkan keputusan A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perniagaan serta Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah.
"Cita-cita saya memang nak masuk ke dalam bidang pendidikan, nak jadi seorang guru. Saya nak balas jasa keluarga saya yang selama ini membesarkan saya.
"Jika tidak, saya cenderung untuk memilih pilihan lain seperti pengajian al-Quran dan sunnah serta syariah,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu ketika ditemui media di sini pada Selasa.
Dia turut mempunyai impian untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
Berkongsi rahsia kejayaan, Zulhilmi selalu menjadikan al-Quran sebagai pendamping hariannya terutama ketika belajar.
"Setiap hari, selepas solat Subuh, saya akan mulakan dengan menghafal ayat al-Quran. Kemudian mengulanginya pada waktu maghrib.
"Sebelum memulakan ulang kaji pelajaran, saya akan membaca atau menghafal beberapa ayat al-Quran terlebih dahulu sebagai pembuka.
"Bila sebut tentang pelajaran ini, memang tak terlepas juga daripada berjaga malam. Selalunya memang saya susun jadual, dari jam 2 ke 4 pagi akan digunakan untuk belajar,” katanya.
Pelajar tajaan penuh Sahabat Insani itu juga mengakui pada awalnya tidak mudah untuk menempuh cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.
Ujarnya, memegang status satu-satunya pelajar OKU menjadikan dia kelihatan asing.
"Pada awalnya, ramai juga yang susah nak terima saya, sebab agak berbeza daripada yang lain. Tetapi lama-kelamaan alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja,” tambahnya.
Sementara itu, ayahnya, Mohd Zaidi Rosli, 47, meluahkan kesyukuran atas kejayaan anaknya dalam SPM.
Jelas anak kelahiran Pahang itu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada Zulhilmi sejak menghantarnya ke MTISI.