Pindaan Akta Akauntan mungkin dibentang awal tahun depan

Iklan
Ahmad pada Majlis Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pindaan Akta Akauntan 1967, yang bertujuan menambah baik peraturan profesion perakaunan di Malaysia, mungkin dibentang pada sesi pertama Parlimen tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MoF) menyokong usaha Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk memperkukuh kuasa kawal selia bagi melaksanakan mandatnya sebagai pengawal selia profesion itu.

Iklan
Iklan

"MIA telah terlibat secara aktif dengan MoF mengenai pemansuhan Akta Akauntan 1967 serta pengoperasian akta baharu dan MoF akan terus mengalu-alukan usaha MIA dalam perkara ini.

"Dalam pada itu, sementara menunggu akta baharu diluluskan, MoF memuji usaha MIA untuk menjalin kerjasama dengan rakan pengawal selianya iaitu Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh penguatkuasaan," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2023 di sini pada Selasa.

Iklan

Ahmad berkata, MIA harus dipuji atas usahanya bagi menghapuskan aktiviti akauntan palsu dan melindungi orang ramai, memperkukuh pematuhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 sebagaimana yang dikuatkuasakan oleh BNM dan menjalin kerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah serta ekonomi.

"Pada masa sama, tugas MIA perlu disokong oleh profesion kukuh yang mengikuti perkembangan yang menjejaskan perniagaan dan peraturan. Oleh itu, persidangan dengan tema membangunkan profesional yang sesuai pada masa hadapan adalah tepat pada masanya.

Iklan

"Ketika negara semakin maju, kita memerlukan himpunan bakat profesional berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan majikan dan organisasi merentasi semua sektor," katanya.

Sementara itu, Presiden MIA, Datuk Bazlan Osman berkata, dalam dunia pasca-Covid yang serba kompleks, penuh gangguan dan tidak pernah berlaku, profesional perakaunan harus mampu mengemudi peranan mereka yang semakin berkembang dan pelbagai untuk menyediakan perkhidmatan cemerlang serta kepimpinan berkesan.

Beliau berkata, ini memerlukan profesional perakaunan bukan hanya untuk memperoleh kecekapan teknikal yang semakin kompleks dalam kewangan dan perakaunan tetapi juga dilengkapi kepintaran bukan kewangan yang akan memperkukuh kedudukan mereka sebagai golongan serba boleh, penyelesai masalah dan rakan kongsi yang boleh dipercayai bagi organisasi.

"Akauntan juga perlu menyesuaikan diri dan tangkas untuk berkembang serta mengatasi cabaran baik yang lama mahupun baharu," katanya.

Sebagai pengawal selia dan pembangun profesion, Bazlan berkata, MIA telah mengenal pasti perubahan iklim serta isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai pencetus perubahan yang bakal menetapkan semula ekosistem perniagaan global.

"Kesemua ini adalah sangat penting kerana pelabur dan pihak berkepentingan mengutamakan kesan perubahan iklim dan ESG.

"Sebagai contoh, gergasi pelaburan global BlackRock komited untuk meletakkan kemampanan sebagai pusat proses pelaburannya pada Januari 2020 berdasarkan keyakinan bahawa penyepaduan maklumat berkaitan kemampanan ke dalam proses pelaburan boleh membantu pengurus portfolio mereka menguruskan risiko dan membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum," katanya. - Bernama