Sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi tumpas

Iklan
Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob (depan) menunjukkan bateri pencawang telekomunikasi yang dirampas selepas kejayaan menumpaskan kumpulan sindiket mencuri bateri berkenaan dalam operasi di sekitar negeri ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang hari ini. - Foto Bernama

PENDANG - Polis menumpaskan satu sindiket mencuri bateri pencawang telekomunikasi yang membabitkan kerugian RM400,000 selepas menahan lapan lelaki dalam operasi di beberapa lokasi di negeri ini, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur antara 21 dan 25 April lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tangkapan melibatkan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi dan lima lelaki asing warga Pakistan yang juga pembeli dan penjual barang lusuh di daerah ini dan Kubang Pasu.

Iklan
Iklan

Katanya, dengan penahanan semua suspek yang berusia 20 hingga 50-an itu, polis menemui semula 190 unit bateri pencawang di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Pulau Pinang yang sebelum ini dilaporkan hilang di negeri ini, Perak dan Kelantan.

"Siasatan mendapati suspek warga tempatan bekerja sebagai juruteknik di pencawang terlibat dan menjual setiap unit bateri seberat 40 hingga 50 kilogram kepada pembeli warga Pakistan pada harga RM3 hingga RM5 sekilogram.

Iklan

"Bateri tersebut kemudiannya dieksport ke Pakistan untuk diproses mengambil plumbum di dalam bateri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Zainuddin berkata, modus operandi kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak enam bulan lepas adalah menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu pagar dan pintu kabin bateri di pencawang terlibat dan membawa lari bateri tersebut.

Iklan

Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek berusia 25 dan 30 tahun yang disyaki turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Siasatan kita terhadap warga asing terbabit mendapati tiga daripada mereka telah berkahwin dengan wanita tempatan dan seorang daripada mereka telah memiliki taraf sebagai penduduk tetap,” katanya.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Dalam pada itu, Zainuddin menasihatkan syarikat telekomunikasi agar berhati-hati dalam mengambil pekerja terutama mereka yang memiliki rekod jenayah lampau bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku. - Bernama