SHAH ALAM - Keputusan kerajaan Persekutuan meneruskan subsidi bagi ayam dan telur hanyalah bersifat sementara kerana ingin memulihkan sektor pembekalannya, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
"Apabila industri pengeluaran barang tersebut pulih dan dapat berdikari, maka waktu itu baharulah ia wajar ditamatkan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Hassan yang juga anggota Jawatankuasa Khas Kos Sara Hidup, Keusahawanan dan Pertanian mengulas, kerajaan cukup menyedari bahawa langkah memberi subsidi untuk bekalan ayam dan telur perlu disemak semula apabila industri pengeluarannya dapat berdikari kembali.
Beliau berkata, tujuan inisiatif tersebut diteruskan buat masa kini adalah bagi membantu sektor pembekalannya yang terjejas akibat isu global.
Jelasnya, usaha berkenaan secara tidak langsung menjadikan industri itu lebih stabil.
"Apabila harga barangan tersebut terkawal dan bekalan stabil ia bermakna rakyat dapat membeli sumber makanan serta protein dengan harga mampu beli,” kata beliau.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Julai depan.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan media pada Jumaat.