KUALA LUMPUR - Malaysia dalam kerangka menukar jam waktu kerja daripada siang kepada malam bagi industri tertentu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendekatan baharu ini sebagai satu usaha kerajaan PH supaya wang negara tidak mengalir ke luar dan ekonomi negara dapat berkembang menerusi konsep berkongsi kekayaan dengan rakyat.
Menurut Dr Mahathir, kebanyakan kerja dalam industri kotor, berbahaya dan sukar"dirty, difficult and dangerous" (3D) tidak sanggup dilakukan oleh rakyat kerana cuaca siang yang panas, justeru pekerjaan itu diserahkan kepada warga asing.
Katanya, pengambilalihan kerja ini telah menyebabkan RM60 bilion wang negara setiap tahun dibawa pulang ke negara luar kesan daripada tujuh juta warga asing yang mencari rezeki di sini dan perkara ini sekali gus merugikan dan memiskinkan Malaysia.
"Sebab itu kerajaan sedang berusaha supaya semua kerja dalam negara kita ini dilakukan oleh rakyat kita sendiri supaya pendapatan tidak mengalir ke luar negara dan menjadikan negara (kita) kaya.
"Memang tugas tersebut amat berat tetapi kita akan permudah dan ringankan, kalau tak sanggup kerja berat ia mungkin diringankan dengan bantuan mesin, bahkan kerja juga boleh dilakukan dalam bangunan dan tidak terdedah kepada panas di luar dan tidak selesa.
"Kita sedang fikir sama ada boleh alih waktu kerja dari waktu siang ditukar kepada waktu malam agar tidak panas,” katanya pada Majlis Makan Malam Tautan Muhibbah 2019 di Segambut di sini malam ini.
Pengerusi PH itu menambah, kerajaan mungkin akan membantu menggerakkan usaha ini dengan memasang lampu limpah di tapak-tapak industri atau perusahaan tertentu.
"Memang gelap pada waktu malam, tapi kita lihat ramai orang kaya main golf pada waktu malam dengan pemasangan lampu. Jadi tidak mustahil juga rakyat kita akan tanam padi pada waktu malam dengan pemasangan lampu, dan kita dapat selesaikan masalah panas.
"Mungkin ramai sukar terima tapi lama-kelamaan kita akan biasakan diri dengan cara macam ini, jadi dengan kerja pada waktu malam dengan bantuan lampu ia dapat mengurangkan tekanan berkerja dalam panas pada waktu siang,” ujar Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu menambah, kerajaan berharap rakyat bekerja keras untuk hidup selesa dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan ia akan membolehkan negara menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan rakyat.
"Kita akan tekan konsep berkongsi kekayaan dengan semua rakyat agar pendapatan negara dapat diagihkan sama rata kepada semua kaum, saya tak mahu lihat mana-mana kaum jadi miskin. Semua akan dapat peluang sama rata, dapat upah dan pendapatan yang lumayan,” katanya.
Malah Dr Mahathir mengingatkan tiada perbezaan antara Bersatu dan parti-parti lain dalam kerajaan PH.
"Bersatu juga sama seperti parti-parti lain, tujuan kita bukan nak berlagak sebagai menteri tetapi berkhidmat untuk rakyat supaya semua dapat hidup selesa,” katanya.