SUNGAI PETANI - Penduduk Sungai Petani diminta merancang perjalanan dengan penutupan jalan sepanjang larian amal, Hasani Charity Run 2019, Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua laluan terlibat akan ditutup bermula jam 12 tengah malam hingga 10 pagi, 4 Mei nanti.
Menurutnya, antara jalan terlibat termasuk Jalan Petani, Jalan Kolam Air, Jalan Sungai Layar Hujung, Jalan Kapal Terbang, Jalan Sungai Layar dan Jalan Badlishah serta lorong di sepanjang laluan penganjuran program larian berkenaan juga ditutup.
"Pengguna boleh menggunakan Jalan Penghulu Him, Jalan Bakar Kapor dan Jalan Lencongan Barat manakala semua jalan lain yang berkaitan dengan laluan utama Hasani Charity Run akan dibuat lencongan agar tidak memasuki jalan tersebut," katanya.
Beliau menegaskan, laluan kenderaan berat tidak dibenarkan di sepanjang laluan serta dilarang meletakkan kenderaan di kiri dan kanan bahu jalan sepanjang acara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, jalan yang terlibat dengan laluan peserta larian akan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan selama tiga jam antara tujuh pagi hingga 10 pagi.
"Jalan hanya akan dibuka semula kepada semua lalulintas selepas semua acara larian selesai.
"Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan," katanya.
Beliau berharap agar pengguna memberi kerjasama kepada anggota trafik yang bertugas bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.
Sementara itu, dalam sidang media khas, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md Nordin Yahya berkata, larian amal juga bertujuan menyambut Ihya Ramadan dan membantu mangsa perang Timur Tengah.
Menurutnya, tabung khusus kepada mangsa perang yang berlaku di Syria, Yaman, Palestin dan Myanmar akan diserahkan melalui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Selain itu, Pengarah Urusan Hasani Group of Companies, Farook Hassan Mohamed Hussain berkata, acara larian meliputi lima kilometer itu akan mensasarkan sumbangan dua buah mesin dialisis dan kerusi roda untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
"Mesin dialisis bernilai RM40,000 setiap satu akan disumbangkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
"Selain itu, kempen derma darah turut diadakan sejak 1 Mei lalu dan akan diteruskan sehingga 4 Mei ini," katanya.
Sebanyak 50 cabutan bertuah disediakan termasuk telefon bimbit, basikal dan barangan elektrik.
Pendaftaran peserta boleh dibuat di seluruh 54 cawangan rangkaian Hasani dan tarikh tutup penyertaan ialah 3 Mac sehingga jam 8 malam.