BATU PAHAT - Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) merampas pelbagai peranti perubatan tidak berdaftar dari China bernilai RM300,000 daripada sebuah syarikat pengedar tidak berlesen di kawasan Perindustrian Wawasan, Tanjung Laboh di sini, pada Selasa.
Ketua Unit Risikan dan Operasi MDA, Dery Akmal Abdul Rahman berkata, serbuan jam 10 pagi itu dilakukan hasil risikan selama enam bulan dan aduan daripada orang ramai.
Katanya, antara peranti perubatan yang dirampas adalah kit ujian kehamilan, ‘blood lancet’, pelitup muka perubatan dan kit kecemasan yang dipercayai untuk dijual di farmasi serta klinik di seluruh negara.
"Selepas ini kita akan buat pemantauan di farmasi serta klinik berkenaan bagi mengelakkan peranti perubatan tidak berdaftar dan diedarkan tanpa lesen ini terus berada di pasaran," katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini MDA sudah mengeluarkan surat amaran kepada syarikat terbabit pada 2018 dan 2022, namun pemilik syarikat iaitu lelaki berusia 40-an itu tetap berdegil dan ingkar dengan terus menjual barangan tersebut.
Katanya, sepanjang operasi serbuan dilakukan oleh 14 anggota penguatkuasa MDA, pemilik syarikat itu telah memberikan kerjasama selain terdapat lima pekerja di premis berkenaan, bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan.
Dery Akmal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) dan Seksyen 15(1) Akta Peranti Perubatan (Akta 737) kerana mengimport atau meletakkan peranti perubatan dalam pasaran sebelum didaftarkan.
"Peranti perubatan yang tidak berdaftar ini sebenarnya kita tidak tahu tahap risikonya kerana kita tidak dapat pastikan tahap keselamatannya, jadi dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada pengguna," katanya. - Bernama